Skip to main
Logo Malaysiakini

Mahkamah Tinggi tolak permohonan Petronas gugur kelayakan JC

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Mahkamah Tinggi di Kuching hari ini menolak permohonan Petronas untuk menggugurkan kelayakan Pesuruhjaya Kehakiman (JC) daripada mendengar kesnya berhubung kes tuntutan Pengawal Cukai Jualan Negeri (SST) dan kerajaan negeri Sarawak.

Dalam keputusannya, JC Christopher Chin juga mengarahkan RM50,000 diberikan sebagai kos kepada plaintif tetapi membenarkan Petronas mengemukakan permohonan untuk penangguhan prosiding kes itu pada 5 Feb, sementara menunggu rayuan yang akan dibuat di Mahkamah Rayuan mengenai keputusan Chin hari ini.

Pengawal SST Sarawak dan kerajaan negeri menfailkan writ saman serta tuntutan terhadap Petronas di Mahkamah Tinggi di sini pada 21 Nov, bagi mendapatkan cukai jualan negeri yang belum dibayar oleh syarikat minyak dan gas negara itu kepada Sarawak.

Pada 14 Jan, Petronas menerusi peguam utamanya, Datuk Malik Imtiaz Sarwar memohon supaya Chin digugurkan daripada mendengar kes itu demi kepentingan keadilan.

Petronas juga memohon semakan kehakiman untuk mengisytiharkan cukai jualan negeri yang dikenakan oleh kerajaan negeri itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan serta batal dan tidak sah.

Mahkamah menetapkan permohonan itu didengar pada 3 Feb ini.

- Bernama