Skip to main
Logo Malaysiakini

Anwar: Pertemuan Dr M, Hadi ubah landskap politik cuma tafsiran umum

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pertemuan Dr Mahathir Mohamad dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang baru-baru ini yang menimbulkan spekulasi kononnya bakal mengubah landskap politik negara, hanya tafsiran umum.

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata perdana menteri bebas berjumpa sesiapa saja malah pertemuan itu juga hanya pertemuan biasa.

"(Perubahan landskap politik negara) itu tafsiran umum... setakat yang PM (perdana menteri) beritahu ianya begitu (perjumpaan biasa).

"PM Mahathir kata dia boleh jumpa sesiapa, dia jumpa saya kerap lagi,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucap utama di Persidangan Antarabangsa Sosial Islam 2020 di Universiti Sultan Zainal Abidin, di Kuala Nerus hari ini.

Ketika ditanya sama ada turut mempunyai rancangan untuk berjumpa dengan Abdul Hadi, Anwar berkata tiada masalah untuknya berjumpa dengan sesiapa saja.

“Saya tiada masalah untuk jumpa sesiapa... saya tidak ambil permusuhan peribadi dengan sesiapa,” katanya.

Baru-baru ini, tular gambar menunjukkan Mahathir menerima kunjungan Abdul Hadi dan Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

- Bernama