Akar umbi PKR berbeza pandangan isu Zuraida diberi surat tunjuk
Pemimpin akar umbi PKR berbeza pandangan mengenai tindakan parti mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada naib presiden Zuraida Kamaruddin.
Ketua PKR Ranting Taman Sri Indah di Balik Pulau, John Ooh berkata adalah "tidak adil" untuk mengenakan tindakan itu ke atas Zuraida.
Beliau berkata kumpulan yang cuba menjatuhkan Zuraida lupa pada pengorbanan dan sumbangan ahli parlimen Ampang itu sebelum ini.
"Zuraida sangat sayang kepada akar umbi dan veteran parti, tindakan seperti ini (terhadap Zuraida) mungkin berpotensi membuat lebih banyak rasa tidak senang dalam kalangan anggota," kata Ooh kepada Malaysiakini.
Ooh ditanya sama ada PKR mengambil tindakan tatatertib secara terpilih terhadap pemimpin parti.
"Sekiranya parti dilihat mengamalkan pilih kasih, ia berpotensi menyebabkan pergolakan dalam parti," katanya.
Beliau merujuk kepada 46 pemimpin PKR semalam yang mengeluarkan kenyataan bersama membidas apa yang mereka sebut sebagai "usaha terancang" untuk menggagalkan muafakat dalam parti.
Dalam kenyataan media bersama 46 pemimpin itu menggesa PKR menghentikan tindakan terhadap Zuraida.
Presiden PKR Anwar Ibrahim sebelum ini berkata jawatankuasa disiplin parti tidak boleh "dipaksa membuat keputusan" terhadap Zuraida.
Daripada 46 penandatangan, 38 merupakan wakil dipilih.
Pada 18 Jan lalu, Zuraida dikeluarkan surat tunjuk sebab oleh jawatankuasa disiplin PKR.
Zuraida memberi gambaran ia kemungkinan mempunyai kaitan dengan ucapannya pada Disember lalu yang mengkritik Anwar.
Zuraida merupakan penyokong tegar timbalan presiden parti dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali, yang dilihat secara terang-terangan berselisih dengan Anwar.
Sementara itu, seorang aktivis reformasi sejak 1999, Annuar Ismail menyifatkan kenyataan 46 pemimpin PKR itu "tidak signifikan".
"Berbanding dengan jumlah wakil rakyat PKR (Adun dan ahli parlimen), 46 bukan jumlah yang signifikan," kata Annuar, yang berasal dari Bayan Baru, Pulau Pinang.
Malah, kata Annuar, dia lebih suka jika Zuraida meninggalkan parti, kerana menurutnya ia lebih baik untuk Pakatan Harapan dalam jangka panjang.
"Dia telah mencabar parti itu untuk memecatnya, kita sepatutnya melepaskan orang yang menyusahkan seperti itu," kata Annuar kepada Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai