Skip to main
Logo Malaysiakini

Gerakan: Jemputan Tahun Baru Cina buat PM tiada agenda politik

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Presiden Gerakan Dominic Lau berkata tiada agenda politik di sebalik jemputan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menghadiri rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran parti itu di Kuala Lumpur Sabtu ini.

Kata Lau, Gerakan menerima surat daripada Jabatan Perdana Menteri semalam yang mengesahkan kehadiran Mahathir.

Ditanya sama ada ia akan menguatkan lagi khabar angin yang mengatakan Gerakan berhasrat menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan (PH), Lau berkata beliau lebih memilih untuk tidak memikirkan perkara itu pada masa ini.

"Ini adalah musim perayaan, kita tidak boleh memikirkan perkara ini (pada ketika ini). Sudah menjadi tradisi Gerakan untuk menjemput perdana menteri menghadiri rumah terbuka," katanya kepada Malaysiakini petang tadi.

Lau juga berkata undangan turut diberikan kepada pemimpin politik lain seperti Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamid Hamidi dan presiden parti komponen PH, termasuk Anwar Ibrahim tetapi tiada seorang pun daripada mereka menjawab sehingga kini.

"Saya percaya semua pihak mahu melihat kestabilan politik, pertumbuhan ekonomi, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dijaga," katanya.

Sementara itu, seorang pembantu kepada Mahathir berkata perdana menteri "kemungkinan besar" akan menghadiri rumah terbuka Gerakan.

Gerakan telah keluar dari gabungan BN pada Jun 2018, sebulan selepas gabungan itu kalah dalam pilihan raya umum.

Parti itu mula mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya umum 2008 apabila ia kehilangan kuasa kerajaan negeri di Pulau Pinang.

Dalam pilihan raya umum lepas, Gerakan gagal memenangi satupun kerusi parlimen atau dewan undangn negeri serta dilihat berdepan cabaran untuk kekal relevan dalam landskap politik Malaysia.

Dua bulan yang lalu, parti itu meletakkan calon untuk pertama kali sejak pemilihan 2018 di pilihan raya kecil Tanjung Piai di Johor.

Walaupun memperoleh undi tertinggi ketiga dalam pertandingan enam penjuru, calonnya, Wendy Subramaniam tertinggal jauh berbanding calon BN dan calon PH.

Pilihan raya kecil itu menyaksikan BN memberikan tamparan hebat kepada PH selepas calon Wee Jeck Seng dari MCA memenangi kerusi itu dengan majoriti lebih 15,000 undi.