Skip to main
Logo Malaysiakini

Khutbah ingatkan umat Islam kepentingan ibadah wakaf

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Umat Islam yang menunaikan solat Jumaat di masjid-masjid sekitar Wilayah Persekutuan hari ini diingatkan mengenai ibadah wakaf yang sangat dituntut dalam Islam.

Menurut khutbah Jumaat yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), ibadah wakaf juga termasuk dalam kategori sedekah jariah yang menjamin ganjaran pahala yang berterusan walaupun pewakaf telah meninggal dunia.

"Para ulama sepakat menerima wakaf sebagai satu amal jariah yang disyariatkan dalam agama Islam.

"Ia juga menjadi amalan yang sentiasa diutamakan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Malah, ramai lagi dalam kalangan mereka yang turut sama melaksanakan ibadah wakaf demi kepentingan umat Islam," petik khutbah yang dibacakan itu.

Menurut khutbah itu, melalui ibadah wakaf sangat dituntut dalam Islam yang menyumbang kepada kemantapan pembangunan sosial sesebuah masyarakat.

"Pembinaan masjid, surau, madrasah dan tanah perkuburan Islam adalah antara bentuk sumbangan yang terhasil melalui ibadah wakaf," kata mimbar.

Kata mimbar, ibadah wakaf itu juga tidak semestinya hanya dengan tanah, bangunan atau lain-lain aset yang berbentuk kekal bahkan Islam juga mengharuskan wakaf tunai.

"Iaitu berwakaf menggunakan wang tunai sebagai harta yang diwakafkan untuk mengumpul dana wakaf yang kemudiannya ditukarkan kepada harta kekal," kata mimbar.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali Ke-77 yang bersidang pada 10 hingga12 April 2007 turut memutuskan bahawa konsep wakaf tunai adalah dibolehkan dalam Islam.

Menurut mimbar, sejarah juga telah membuktikan, sumbangan wakaf amat penting sebagai pemangkin kepada perkembangan ekonomi, meningkatkan taraf kualiti hidup masyarakat serta menjamin kesinambungan syiar Islam.

Namun, kata mimbar, sekiranya wakaf tidak dibangunkan secara optimum, sudah pasti ia tidak dapat memberikan manfaat yang berkesan kepada masyarakat.

Justeru, pengurusan wakaf yang cekap dan telus amat diperlukan agar tujuan wakaf yang disyariatkan ini tercapai.

Memetik Surah al-Haqqah, ayat 30-34, kata mimbar Allah SWT telah memberi peringatan kepada mereka yang ingkar, sombong dan pentingkan diri sendiri dengan diberikan balasan azab yang pedih di dalam neraka.

"Janganlah kita sayangkan harta dan pentingkan kehendak diri sendiri sehingga mengabaikan kewajipan ini," kata mimbar.

Tambah mimbar, berkuatkuasa 1 Jan 2020, sumbangan wakaf tunai ke Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan akan mendapat pelepasan cukai sebagaimana yang telah diumumkan di dalam pembentangan belanjawan 2020 baru baru ini.