Skip to main
Logo Malaysiakini

Mujahid usah sandiwara isu kuota haji - Asyraf

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Ketua Pemuda Ummo Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof cuba menafikan kuota haji tambahan diterima Malaysia pada 2017 sebanyak 12,000.

Asyraf yang juga bekas timbalan menteri di jabatan perdana menteri sewaktu pentadbiran BN berkata, kuota tambahan itu membolehkan 42,200 rakyat Malaysia menunaikan ibadah haji pada tahun berkenaan.

"Apa tujuan Mujahid Yusof selaku menteri haji (gelaran orang Kimanis) menafikan kuota tambah yang diperolehi kerajaan Malaysia pada 2017 sebagaimana paparan soal jawab isu kuota haji 2020 di halaman Facebook beliau?

"Pada 2017, selaku timbalan menteri di jabatan perdana menteri (Hal Ehwal Agama) yang diamanahkan mengetuai delegasi haji Malaysia tahun tersebut, negara menerima kuota tambahan sebanyak 12,000 menjadikan jumlah keseluruhan kuota haji yang diterima sebanyak 42,200.

"Kuota tambahan tersebut dikurniakan sendiri oleh Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al Saud atas dasar persahabatan yang akrab dengan Perdana Menteri waktu itu Najib Razak. Malah hampir setiap tahun Malaysia dilayani istimewa oleh Kerajaan Arab Saudi," katanya pada satu catatan di Facebooknya.

Tambah Asyraf, mereka yang mengerjakan ibadah haji pada tahun tersebut dapat mengesahkan dan merasai sendiri kesesakan terutamanya di Arafah dan Mina kerana pertambahan mendadak jemaah haji pada tahun tersebut.

Dua hari lalu, Mujahid memaklumkan kuota rasmi haji untuk Malaysia bagi tahun ini (1441 Hijrah) meningkat kepada 31,600 berbanding 30,200 jemaah tahun lepas.

Beliau berkata penambahan kuota 1,400 orang itu adalah hasil rundingan kerajaan Malaysia khususnya Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerajaan Arab Saudi untuk mempertimbangkan kenaikan jumlah kuota seiring dengan peningkatan populasi penduduk negara ini.

"Kita diberikan kuota 30,200 jemaah berpandukan 0.01 peratus penduduk yang diambil populasi kita yang tidak dikemas kini (iaitu populasi 30 juta) tetapi mengikut versi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2017, penduduk Malaysia telah meningkat iaitu 31,600,000.

"... kerana keputusan OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) yang menyatakan setiap negara dapat (kuota haji) 0.01 peratus daripada populasi penduduknya maka kita memaklumkan peningkatan mengikut statistik (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) terbaharu itu," katanya kepada pemberita pada sidang media khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Najib: Kuota sebab hubungan baik saya dengan Raja Arab

Tinjaun Malaysiakini di laman sosial Mujahid mendapati terdapat satu paparan soal jawab yang mana menafikan dakwaan kononnya Malaysia memperoleh kuota haji lebih 40,000 pada tahun 2017.

Jelas paparan soal jawab itu, dakwaan berkenaan adalah tidak tepat dan negara pada tahun itu hanya memperoleh kuota haji sebanyak 31,000 saja.

Dalam pada itu, Najib di Facebooknya juga turut mendakwa Mujahid cuba menyembunyikan kebenaran berhubung isu kuota haji.

Tulis Najib, kemudahan itu diperoleh negara atas dasar jalinan hubungan baiknya dengan Raja Arab Saudi ketika itu.

Pada hantaran di Facebook itu, Najib turut memuat naik pautan ciapan Twitter Pusat Komunikasi Antarabangsa (CIC) Kementerian Penerangan dan Budaya, Arab Saudi yang menunjukkan jumlah kuota haji untuk pada 2017 adalah 41,200.

Sementara itu, Asyraf menasihatkan Mujahid supaya menghentikan sandiwara berhubung isu kuota haji dan memberi fokus kepada memulihkan semula hubungan istimewa Malaysia dan Arab Saudi.

"Fokuslah kepada memulihkan semula hubungan istimewa antara Malaysia dan Arab Saudi bagi manfaat rakyat Malaysia agar tempoh penantian giliran haji mereka dapat disingkatkan dengan kuota tambahan yang dikurniakan sebagaimana dahulu," katanya.

Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan penjelasan Mujahid berhubung perkara ini.