Skip to main
Logo Malaysiakini

Koronavirus: Semua pihak diminta tak keluarkan kenyataan bercanggah

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad menasihatkan semua pihak agar tidak mengeluarkan kenyataan bercanggah berhubung kes jangkitan novel novel koronavirus (2019-nCoV) yang berlaku di negara ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kesihatan dan Sumber Manusia Johor Aminolhuda Hassan, yang mengesahkan lapan pelancong warga China yang tiba di Johor Bahru itu menunjukkan tiada tanda-tanda atau gejala jangkitan koronavirus.

“Tak ada masalah, Exco Johor tak mengetahuinya, mereka juga tidak mempunyai maklumat yang tepat dan terkini.

“Namun, kami sangat mengharapkan peringkat negeri tidak buat kenyataan,” katanya dalam sorang media di Putrajaya, hari ini.

Semalam, hasil saringan Jabatan Kesihatan Johor (JKMJ) ke atas lapan pelancong warga China di Johor Bahru, pada 23 Januari menunjukkan tiada tanda-tanda atau gejala jangkitan koronavirus.

Aminolhuda sebelum ini berkata semasa mengesahkan perkara itu berkata empat individu dewasa dan empat kanak-kanak dari Wuhan itu kini berada di sebuah hotel dan dipantau oleh JKNJ selama 14 hari.

Bagaimanapun, beliau berkata lapan individu itu tidak dihalang untuk pulang ke negara asal dalam tempoh berkenaan memandangkan sampel klinikal untuk ujian pengesanan virus 2019-nCoV menunjukkan kesemua mereka bebas daripada virus itu.

Katanya, lapan individu terbabit - yang mempunyai hubungan dengan seorang lelaki China di Singapura yang disahkan positif virus itu - berada di Johor sejak kelmarin.

Bagaimanapun, KKM hari ini mengesahkan Malaysia mengesan kes jangkitan novel koronavirus (2019-nCoV) yang pertama di negara ini.

Menurut Dzulkefly, ujian pengesanan dan pengesahan melibatkan tiga individu itu diperolehi dari pihak Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sungai Buloh lewat malam semalam.

Dalam sidang medianya, Dzulkefly turut memaklumkan bahawa tiga pesakit itu merupakan isteri dan dua cucu kepada lelaki berumur 66 tahun dari Wuhan, China yang sebelum ini disahkan dijangkiti virus yang sama oleh Kementerian Kesihatan Singapura (KKS), tiga hari lalu.