Polis Sabah akan semak semua permohonan lesen senapang
Polis Sabah akan menyemak semua permohonan lesen pemilikan raifal selepas arahan pembatalan senjata api itu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara berperingkat.
Pesuruhjaya Polis Sabah Omar Mammah berkata langkah itu sebagai menyokong usaha PDRM mengekang kegiatan pemburuan haram di negara ini yang dilihat semakin berleluasa.
"Saya percaya ada kriteria tertentu digunakan sebagai garis panduan sama ada untuk membatalkan lesen pemilik senjata api atau sebaliknya," katanya kepada pemberita pada program kembara bermotosikal sempena kempen memerangi dadah dan pencegahan jenayah serta 'Op Selamat 16' di Tuaran, hari ini.
Rabu lepas, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dilaporkan sebagai berkata bahawa semua lesen pemilikan raifal, yang dikenal pasti sebagai senjata api popular untuk pemburu haram, akan dibatal secara berperingkat-peringkat.
Sementara itu, Omar berkata setakat ini sebanyak 356 kes kemalangan jalan raya dicatatkan sepanjang tempoh Op Selamat 16 sempena Tahun Baharu Cina yang bermula pada 18 Jan hingga 2 Feb depan berbanding 413 kes pada operasi yang sama tahun lepas.
Dalam tempoh itu juga katanya sebanyak dua kes kematian dilaporkan berbanding tiga kes pada tahun lepas.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai