Skip to main
Logo Malaysiakini

Sistem p'raya perwakilan nisbah: 'Selesaikan Perkara 46 dulu'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Cadangan Jawatankuasa Reformasi Pilihan Raya (ERC) memperkenalkan sistem perwakilan nisbah didakwa mempunyai kelemahan apabila ia masih tetap tidak menjadikan setiap undi adalah sama.

Untuk makluman, sistem yang dicadangkan melibatkan pengundian bagi parti dan bukan calon individu. Kerusi di Parlimen akan dikenalpasti berdasarkan negeri berbanding kawasan pilihan raya.

Matlamat cadangan ini meletakkan asas bagi satu sistem yang mana jumlah kerusi di parlimen mencerminkan kadar undi yang diterima oleh sesebuah parti.

Di bawah sistem pilihan raya sedia ada, terdapat tiga keadaan di mana gabungan parti membentuk kerajaan persekutuan tanpa memenangi undi majoriti (pada tahun 1969, 2013 dan 2018).

Dalam wawancara bersama Malaysiakini baru-baru ini, Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann berkata sistem PR yang dicadangkan hanya menghapuskan persempadanan tidak sekata (malapportionment) dalam aktiviti persempadanan negara (intra state).

Fann berkata pengagihan kerusi parlimen di seluruh negara dinyatakan di bawah Perkara 46 (1) Perlembagaan Persekutuan - dan ia perlu ditangani terlebih dahulu.

Misalnya, Selangor mempunyai 22 kerusi parlimen atau satu kerusi untuk setiap 100,000 pengundi.

Dalam kes di Johor, ia mempunyai lebih banyak kerusi iaitu 26 kerusi walaupun memiliki kurang pengundi daripada Selangor. Di Johor, bagi setiap kerusi, mempunyai 64,000 pengundi secara purata.

Ekoran itu, Fann mencadangkan agar ERC mencadangkan pemansuhan atau pindaan kepada Perkara 46.

"Sistem perwakilan berkadar akan mempunyai senarai kumpulan pengundi yang besar dengan Sabah dan Sarawak sebagai unit berasingan.

"Sebagai alternatif, dengan peningkatan jumlah penduduk yang besar pindaan Perkara 46 perlu bagi memperkenalkan cadangan perwakilan nisbah di negeri-negeri," kata Fann.

Di bawah Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan, bilangan pengundi di setiap kawasan mestilah "hampir sama".

Dalam amalan itu, saiz purata kawasan parlimen bagi pilihan raya yang lalu adalah dari 50,074 di Perlis hingga 109,776 di Selangor.

Sementara itu, penyelidik dasar awam Kenneth Cheng menyatakan keraguan terhadap cadangan bahawa sistem perwakilan nisbah akan menggalakkan parti politik untuk lebih berpusat.

Cheng berkata kemunculan parti-parti politik yang menjuarai sesuatu isu mungkin berlaku kerana di bawah sistem yang dicadangkan, parti yang lebih kecil mempunyai peluang lebih baik untuk memenangi kerusi.

Satu ciri dalam sistem "first-past-the-post" adalah "pemenang mengambil semua" bilangan kerusi yang dimenangi parti dan tidak bergantung pada nisbah undian yang diterima.

Dari apa yang dicadangkan ERC, sistem ini akan menyaksikan mana-mana parti mendapat kerusi di Parlimen selaras dengan nisbah peratusan undi yang diperolehi bagi untuk setiap negeri.

Cheng berkata di bawah sistem sedemikian, adalah mungkin bagi parti yang menjuarai sesuatu isu muncul dari kawasan tertentu seperti Kelantan dan Terengganu. 

Sebagai contoh "parti hudud" yang kecil, kata Cheng sekiranya berjaya memenangi hanya satu kerusi di Parlimen, dapat mempengaruhi wacana nasional.

"Ia akan memberikan mereka beberapa kuasa politik yang kecil [...] Jika isu tunggal mereka dianggap cukup popular, parti politik arus perdana mungkin menggunakannya kerana takut kehilangan sokongan kepada ada parti-parti ini," katanya.