Skip to main
Logo Malaysiakini

Muhyiddin kekal ketua Bahagian Bersatu Pagoh

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Muhyiddin Yassin, mengekalkan jawatan Ketua Bahagian Bersatu Pagoh selepas tidak dicabar sehingga pencalonan ditutup 2 petang tadi.

Menteri Besar Johor Dr Sahruddin Jamal yang mengemukakan pencalonan bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Pagoh turut menang tanpa bertanding bagi jawatan tersebut.

Difahamkan, Pengerusi Bersatu Johor merangkap Ketua Bahagian Bersatu Tebrau Mazlan Bujang pula dicabar Timbalan Ketua Bahagian Tebrau, Saiful Ahmad dan Ketua Srikandi Tebrau, Noorlihan Ariffin dalam pertandingan tiga penjuru bagi jawatan ketua bahagian itu.

Sementara itu, Pengerusi Pemilihan Bersatu Johor, Ahmad Daud berkata kesemua 26 bahagian di negeri ini layak mengemukakan pencalonan bagi pemilihan yang diadakan buat pertama kalinya.

Beliau berkata keseluruhannya, proses penamaan calon yang bermula 9 pagi tadi sehingga 2 petang di kesemua 26 pejabat bahagian berjalan lancar.

Katanya sehingga 7.00 malam ini, ibu pejabat Bersatu negeri sudah menerima borang pencalonan daripada 16 bahagian.

"Manakala baki 10 bahagian lain masih belum diterima antaranya membabitkan kawasan Johor Utara termasuk Pagoh, Ledang, Sekijang, Bakri dan Batu Pahat," katanya.

Menurut Ahmad, dijangkakan semua kertas pencalonan daripada 10 bahagian itu akan tiba di ibu pejabat negeri selewat-lewatnya 10 malam ini.

Katanya kira-kira 80 peratus bahagian menyaksikan pertandingan tiga penjuru manakala dua bahagian lagi berdepan pertandingan lima penjuru.

- Bernama