Skip to main
Logo Malaysiakini

Budak 5 tahun warga China bukan penghidap koronavirus

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Seorang kanak-kanak lima tahun warga negara China yang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) disahkan bukan penghidap koronavirus.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus mengesahkan kanak-kanak berkenaan dirawat di HSNZ, namun hanya demam biasa.

"Hasil pemeriksaan ke atas kanak-kanak tersebut mendapati beliau tidak memenuhi kriteria sebagai pesakit disyaki PUI (Patient Under Investigation) atau sebagai pesakit Coronavirus. 

"Kanak-kanak tersebut mengalami demam biasa dan sakit tekak. Oleh itu pihak hospital memberikan rawatan biasa kepada kanak-kanak itu," katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan tersebut dikeluarkan susulan tular salinan laporan polis mendakwa seorang kanak-kanak berusia lima tahun dari China datang ke hospital Kemaman untuk rawatan kecemasan dan disyaki menghidap koronavirus.

Dalam laporan polis itu menyebut kanak-kanak perempuan berkenaan ditahan diwad sebelum didapati 'hilang' dan disyaki dilarikan ibu bapanya.

Sementara itu, Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanifah Mat berkata ibu bapa kanak-kanak berkenaan merupakan pekerja bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Katanya ketika di hospital Kemaman, ibu bapa kanak-kanak terbabit tidak faham apa yang dimaklumkan oleh doktor akibat masalah komunikasi lalu membawa pulang semula anak mereka.

Pihak hospital kemudian meminta bantuan polis untuk mengesan kanak-kanak terbabit serta bertemu ibu bapanya, sebelum kanak-kanak itu dibawa ke HSNZ.

Terdahulu Dr Nor Azimi menjelaskan setakat 26 Jan, tiada kes disyaki jangkitan koronavirus di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Ia berikutan satu hantaran Facebook yang mendakwa lima individu yang baru kembali dari Wuhan dimasukkan ke hospital itu kerana disyaki dijangkiti koronavirus.

Hari ini menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan berita palsu berhubung wabak Koronavirus yang disifatkannya kini sebagai 'kritikal'

Surunjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menyebarkan khabar angin atau berita tidak sahih.

Setakat ini, empat individu telah dikenal pasti untuk membantu siasatan berkaitan penyebaran berita palsu berkaitan wabak berkenaan.