Skip to main
Logo Malaysiakini

Penutup hidung di Perlis laku bak pisang goreng panas

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Peningkatan tahap kesedaran terhadap 2019 Novel Koronavirus dalam kalangan penduduk tempatan menyebabkan penjualan penutup hidung dan mulut di Kangar laku bagai ‘pisang goreng panas’.

Tinjauan Bernama di beberapa farmasi dan Kedai Serbaneka 24 jam sekitar Kangar mendapati kebanyakan premis berkenaan telah kehabisan stok penutup hidung dan mulut.

Orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga dengan membeli penutup hidung dan mulut setelah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihati orang ramai agar memakainya selain mencuci tangan dengan bahan pencuci tangan serta mengelak daripada mengunjungi tempat tumpuan ramai dan bergaul rapat dengan mana-mana individu yang menunjukkan simptom.

Jurucakap sebuah farmasi yang ingin dikenali sebagai Salmah berkata stok penutup hidung dan mulut dalam simpanan mereka telah habis dijual sejak semalam.

“Saya mula buka premis kira-kira jam 10.00 pagi, kesemua stok penutup hidung dan mulut habis dijual dalam masa kurang daripada dua jam.

“Disebabkan cuti umum sempena sambutan Tahun Baharu Cina, saya hanya akan membuat pesanan bagi mendapat stok tambahan esok,” katanya kepada Bernama di Kangar hari ini.

Sementara itu, seorang penjawat awam, Mohd Nor Zharif Idrus, 28, berkata beliau bernasib baik kerana dapat membeli penutup hidung dan mulut untuk kegunaan isteri dan dua anaknya di sebuah pasar raya di Kangar petang semalam.

“Saya cepat-cepat beli penutup hidung dan mulut semalam apabila dapat tahu ada kes koronavirus di Malaysia,” katanya.

Hari ini sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Kelab Peduli Masyarakat Perlis dengan kerjasama Kelab Meja Batu Taman Ira Jaya telah mengedarkan lebih 800 penutup hidung dan mulut kepada pengguna jalan raya di Jalan Kampung Bakau berhampiran Sekolah Kebangsaan Sena, dekat Kangar, hari ini.

Pengerusinya, Mohd Khomeini Halipah berkata pengagihan penutup hidung dan mulut itu bertujuan untuk menggalakkan orang ramai memakai penutup hidung dan mulut apabila berada di luar rumah.

"Kita ambil langkah berjaga-jaga dan kita bekerjasama untuk agihkan penutup hidung dan mulut secara percuma kepada orang ramai sebagai persediaan untuk elak terdedah dengan koronavirus," katanya.

- Bernama