Skip to main
Logo Malaysiakini

Lumba tular berita palsu dalam episod koronavirus

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Penularan kluster 2019 novel koronavirus bukanlah satu-satunya perkara yang menjadikan Kementerian Kesihatan sibuk sekarang ini.

Berita palsu, spekulasi dan khabar angin berkaitan perkara itu yang tular di media sosial turut menambah ‘kerja’ kementerian.

"Kita mempunyai dua masalah... masalah virus satu, tetapi masalah yang lebih meruncing nampaknya penularan berita-berita palsu seumpama ini,” kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad kepada media semalam.

Beliau berkata antara fakta yang mengelirukan ialah tuduhan oleh ramai bahawa Malaysia tidak serius menangani masalah itu kerana masih belum menyekat pelancong China daripada masuk ke negara ini.

Menteri Kesihatan itu menegaskan bahawa Malaysia mematuhi IHR 2005 (Peraturan Kesihatan Antarabangsa) dan oleh itu sebarang tindakan hanya boleh diambil berdasarkan syor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kecemasan Kesihatan Awam dengan Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC).

Dzulkefly berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di Sepang, semalam.

Sebelum itu, Kementerian Kesihatan menafikan dua berita palsu iaitu seorang banduan mati selepas memakan limau mandarin yang dijangkiti virus itu, dan pelajar Malaysia yang pulang dari Wuhan dimasukkan ke hospital di Ipoh.

Bukan itu sahaja, gambar tular yang menunjukkan pesawat penuh dengan penumpang warga China tiba di Langkawi untuk melarikan diri dari koronavirus di negara mereka menimbulkan kebimbangan.

Bagaimanapun, syarikat pelancongan yang membawa masuk kumpulan berkenaan menafikan dakwaan itu dan menyatakan bahawa mereka hanya penumpang agensi pelancongan itu dari Nanjing, China.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan kandungan, berita palsu atau khabar angin mengenai koronavirus.

Sementara itu, Agensi Berita China, Xinhua, melaporkan pihak berkuasa kesihatan China mengumumkan 80 kematian akibat koronavirus, manakala 2,744 kes penyakit radang paru-paru - dengan 461 kritikal - berkaitan penyakit itu disahkan.

Wuhan dan tujuh bandar berdekatan lain terus ditutup bagi mengelak penyebaran penyakit itu.

Setakat ini, AS, Perancis, Malaysia, Singapura, Thailand, Australia, Jepun, Nepal, Korea Selatan, Taiwan dan Vietnam juga melaporkan kes koronavirus yang disahkan tetapi jumlahnya terhad.

- Bernama