Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis masih tunggu laporan ujian air kencing Adun Bersatu

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Polis masih menunggu ujian patologi berhubung sampel air kencing yang diperoleh dari tangkapan kes dadah di sebuah kondominium di Puchong pada 12 Jan, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Mohd Khalil Kader.

Mohd Khalil ditanya mengenai status Adun Dengkil Adhif Syan Abdullah yang merupakan antara individu yang ditangkap dalam kes itu.

"Kami masih menunggu laporan.

"Siasatan masih dijalankan. Kami masih menunggu laporan patologis. Kami akan mengambil tindakan sewajarnya selepas menerima laporan itu," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Seramai 17 individu ditahan semasa serbuan itu.

Adhif Syan, yang juga ketua Pemuda Bersatu Selangor, menafikan sebarang kesalahan, mendakwa bahawa dia berada di "tempat yang salah pada masa yang salah.

Sebelum ini, Khalil berkata walaupun ujian dadah awal yang dijalankan oleh polis positif, mereka masih memerlukan keputusan ujian patologi untuk pengesahan.

Mengulas mengenai isu lain, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata bekas pengerusi Tabung Haji, Abdul Azeez Abdul Rahim semalam disoal siasat mengenai rakaman audio yang dikeluarkan oleh SPRM.

Ditanya bila kenyataan bekas perdana menteri Najib Razak akan diambil, beliau menjawab: "Saya belum menerima sebarang kemas kini."

Menjawab soalan lain, Abdul Hamid berkata bahagian penyiasatan khas Bukit Aman (D5) sedang menangani banyak kes yang berkaitan dengan hubungan kaum dan oleh itu, tidak ada jangka masa untuk membincangkan penyiasatan berkenaan.

"Kami akan memanggil mereka satu persatu. Perkara itu akan disiasat secara adil dan telus," katanya.

Pada 8 Jan lepas, SPRM mengeluarkan beberapa rakaman audio melibatkan perbualan telefon Najib dengan beberapa individu mengenai skandal 1MDB.

Turut didedahkan ialah perbualan Azeez dengan bekas ketua pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad, yang ketika itu bersama Jabatan Peguam Negara.

Najib, yang sedang berdepan perbicaraan susulan pertuduhan yang berkaitan dengan 1MDB, berkata beliau akan memulakan prosiding penghinaan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya kerana mendedahkan rakaman perbualannya.