Skip to main
Logo Malaysiakini

Malaysia mahu pastikan tiada perang di Laut China Selatan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu tidak ingin berlaku peperangan di kawasan Laut China Selatan yang menurutnya hanya akan merugikan negara-negara Asia Tenggara, termasuklah Malaysia dan Indonesia.

"Kami ingin pastikan supaya tidak ada peperangan di kawasan ini (Laut China Selatan). Jika berlaku ketegangan di sini, yang akan rugi adalah negara di sekitar perairan itu.

"Sedangkan negara besar seperti AS tidak akan terkena kerana jauh. Yang akan tanggung kesannya adalah kita (negara di Asia Tenggara)," katanya seperti dipetik CNN Indonesia.

Laut China Selatan menjadi konflik apabila China mendakwa memiliki 90 peratus wilayah perairan tersebut, dalam lingkungan kawasan ‘Sembilan Garis Putus' yang digagaskannya.

Meskipun Mahkamah Arbitrasi Antarabangsa menolak dakwaan Beijing itu pada 2016, pemerintahan Presiden Xi Jinping tetap membangunkan sejumlah kemudahan tentera malah pulau buatan di perairan itu.

Selain Malaysia dan Indonesia, Filipina, Vietnam, Kamboja, serta Thailand juga turut terletak dalam wilayah yang dituntut China itu.

Dalam perkembangan lain, Mohamad turut berkata isu nelayan Indonesia ditawan oleh militan Abu Sayyaf di perairan Sabah merupakan antara perkara yang dibincangkan dengan Menteri Pertahanan Indonesia Prabowo Subianto.

Mohamad turut mengakui cabaran yang dihadapi di perairan itu ekoran pulau-pulau yang banyak dan kecil yang menyukarkan pihak berkuasa membezakan bot nelayan dan bot lanun.

Bagaimanapun, kata Mohamad, Malaysia akan mempersiapkan pihak berkuasa dengan peralatan lebih canggih untuk menangani masalah itu.

"Kadang-kadang kami tak boleh mengecam mereka (bot lanun). Ini yang perlu ditingkatkan Malaysia sekarang. Bersama Pak Prabowo tadi, beliau mengatakan bahawa mereka faham dan mereka akan terus kuatkan kerja sama.

"[...] Biasalah kadang-kadang nelayan ini. Nelayan-nelayan kami pun banyak juga yang disita di Indonesia. Tapi kami tetap mencari jalan terbaik untuk berunding bagaimana menghadapi masalah ini. Ini yang tadi kami perbincangkan dengan Pak Prabowo," katanya lagi.

Pada 16 Januari lalu, lima nelayan Indonesia yang bekerja di kapal ikan Malaysia diculik oleh kelompok Abu Sayyaf di perairan Tambisan, Lahad Datu, Sabah, yang merupakan kes terbaru setelah penawanan pada September.

Kelima-lima nelayan itu diculik tiga hari sebelum dibebaskan oleh pasukan bersenjata Filipina.