Skip to main
Logo Malaysiakini

Daftar Risiko Kebangsaan untuk fahami risiko bencana

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Daftar Risiko Kebangsaan (NRR) akan dibangunkan bagi memahami risiko bencana serta digunakan sebagai instrumen dalam proses membuat keputusan seperti projek pembangunan, program mitigasi bencana dan operasi menyelamat di negara ini.

Daftar berkenaan bakal mengandungi maklumat antaranya berkaitan trend kejadian bencana, jumlah penduduk dan kegiatan ekonomi berisiko seperti kilang kimia bagi melihat kesan sekiranya berlaku bencana di sesuatu kawasan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata NRR akan dibangunkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) selaras dengan keperluan antarabangsa bagi memahami risiko bencana.

"Kita nak tahu bagaimana memahami risiko bencana dan kita buatkan satu dokumen NRR untuk kita guna pakai instrumen ini dalam proses membuat keputusan, selain kita akan memperkasa Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) yang merupakan antara strategi dalam pemerkasaan Nadma sebagai pusat rujukan bencana," katanya dalam temu bual khas bersama Bernama dan RTM berhubung hala tuju Nadma bagi tahun 2020 di pejabatnya di sini, baru-baru ini.

Dr Wan Azizah yang juga menteri bertanggungjawab kepada Nadma berkata selain pemerkasaan Nadma, agensi itu turut menggariskan lapan lagi fokus untuk dilaksana pada tahun ini termasuk pengurangan risiko bencana sebagai teras pembangunan negara.

Beliau berkata kerajaan akan memastikan dasar berkaitan bencana diambil kira dalam penggubalan dasar negara seperti Rancangan Malaysia Ke-12 dan dasar di peringkat kementerian dan jabatan.

Selain itu, beliau berkata Nadma juga akan memberi tumpuan kepada menyelaras projek pencegahan dan peredaan yang bersifat kos rendah serta berimpak tinggi dengan kerjasama agensi kerajaan di semua peringkat.

Katanya, Nadma akan turut memberi fokus kepada integrasi sains dan teknologi dalam pengurusan bencana; mengukuhkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART); pengurusan bencana yang inklusif dengan mengambil kira golongan berkeperluan khas; pengupayaan komuniti dalam pengurusan bencana; pemantapan pengurusan logistik serta meningkatkan keterlibatan Nadma di peringkat antarabangsa.

- Bernama