Skip to main
Logo Malaysiakini

Bekas pengurus Paip didakwa terima rasuah RM44,700

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Bekas pengurus perolehan Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini, atas 22 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM44,700 selama lebih setahun bermula 2017.

Pengakuan tertuduh, Sani Khan Ali Khan, 45, dari Sungai Isap Damai, Kuantan direkodkan di hadapan Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib.

Tertuduh didakwa menerima suapan itu antara 6 Julai 2017 dengan 18 Dis 2018 di RHB Bank Berhad cawangan Jalan Air Putih di Kuantan daripada kontraktor Chong Wei Peng sebagai balasan untuk memberikan kerja Paip kepada syarikat berkaitan Chong.

Suapan yang melibatkan nilai di antara RM1,200 dengan RM4,200 bagi setiap transaksi itu didakwa dimasukkan ke dalam akaun bank tertuduh menerusi transaksi pemindahan wang dalam talian atau menerusi mesin deposit wang (CDM).

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mahadi Abdul Jumaat menawarkan jaminan RM20,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Dir Kheizwan Kamaruddin memohon jumlah itu dikurangkan kerana adik tertuduh yang berhasrat menjadi penjamin hanya bekerja sendiri dengan pendapatan sekitar RM4,000 ke RM5,000 sebulan.

"Tertuduh kini telah ditukarkan ke seksyen pendidikan Paip dan menyara isteri, tiga anak yang masih belajar serta seorang ibu. Tertuduh telah memberikan kerjasama kepada SPRM. Tujuan jaminan adalah untuk memastikan kehadiran di mahkamah dan bukannya hukuman kepada tertuduh," katanya.

Mohd Ghazali membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 20 Feb ini bagi sebutan semula kes untuk penyerahan dokumen.

Beliau juga membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya tertuduh melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan dan pasport miliknya diserahkan kepada mahkamah sehingga selesai perbicaraan.

Tertuduh menjelaskan jaminan tersebut.

-Bernama