Skip to main
Logo Malaysiakini

TPM: Tiada lanjutan visa untuk warga China dalam negara

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kerajaan tidak akan melanjutkan visa warga China yang sudah ada di negara ini, kata Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata demikian semasa sidang akhbar hari ini, selepas melawat usat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Putrajaya untuk mendengar taklimat tentang keadaan terbaru mengenai koronavirus.

Bagaimanapun, Wan Azizah berkata bahawa warga China yang telah diuji positif dengan virus itu, akan tetap berada di bawah jagaan KKM untuk diberi rawatan sebelum dihantar pulang.

"Tidak, tidak boleh," katanya ketika ditanya sama ada kerajaan akan membenarkan pelanjutan visa untuk pelawat China yang sudah ada di negara ini.

Terdahulu, beliau mengumumkan bahawa jumlah kes koronavirus yang disahkan di negara ini kekal sebanyak tujuh kes, semuanya adalah pengunjung dari China termasuk empat keluarga yang berasal dari Wuhan.

Tambah Wan Azizah, bagi kes pengunjung yang sakit, negara harus menyediakan rawatan mengikut keperluan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Kita ada prosedur operasi standard daripada WHO yang harus kita patuhi. Ini bukan hanya untuk koronavirus, tetapi sesiapa yang sakit, kita perlu merawatnya sebelum hantar pulang," kata Wan Azizah.

Apabila ditanya mengenai gesaan pihak tertentu yang mahu kerajaan meluaskan penggantungan visa kepada semua pelawat dari China, beliau berkata langkah itu tidak akan membuat banyak perbezaan.

"Pada masa ini, pelancong China tidak datang ke negara ini, jumlahnya sangat kecil," katanya.

Mengenai perhimpunan awam yang besar termasuk persidangan antarabangsa yang akan diadakan di negara ini, Wan Azizah berkata setakat ini tiada arahan oleh WHO terhadap penganjuran acara sedemikian.

Beliau berkata untuk perayaan Thaipusam minggu depan, kerajaan akan memantau keadaan dan bergantung kepada nasihat WHO.

"Kita akan melihat perkembangan (keadaan), jika WHO mengatakan bahawa tidak sepatutnya mengadakan perhimpunan besar seperti itu, kita akan mengeluarkan kenyataan dan juga arahan," katanya.