Skip to main
Logo Malaysiakini

Mufti: Jangan timbulkan ketakutan, ini hal serius

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menggesa orang ramai berhati-hati daripada terbabit perbuatan menyebarkan sesebuah kandungan yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.

Beliau berkata, penularan berita palsu sewaktu negara sedang diancam virus novel koronavirus (2019-nCoV) boleh mencetuskan reaksi panik dengan mudah terutama apabila ia membabitkan nyawa seseorang.

“Jangan timbulkan ketakutan dan kegelisahan masyarakat. Ini bukan perkara biasa-biasa. Ini serius dan babitkan kematian,” tegasnya.

Mohd Asri ditemui pada majlis pelancaran teater Korupsi Dewan Semandung di Istana Budaya, Kuala Lumpur hari ini.

Beliau dijangka menjayakan naskhah bergenre komedi seram arahan Khir Rahman itu dengan muncul sebagai dirinya sendiri, bertujuan menyampaikan mesej dakwah berkaitan naskhah yang dipentaskan.

Pada masa sama, Mohd Asri berkata, berita palsu menyebabkan orang ramai mudah keliru dengan maklumat salah.

“Mereka ada hak untuk takut kerana ini bukannya soal mati hidup orang lain tapi diri mereka sendiri.

"Di Malaysia ni banyak sangat berita palsu,” katanya.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini dilaporkan sedang menyiasat satu kumpulan sembang WhatsApp dan tiga akaun Facebook kerana disyaki menyebarkan khabar angin dan berita tidak sahih berhubung penularan wabak tersebut.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, pula mahu semua pengguna media sosial - terutama ‘pakar separuh masak’ - agar berhenti daripada menjadi ejen menakut-nakutkan orang ramai.

2019-nCoV mula tersebar di Wuhan sejak awal bulan ini apabila beberapa individu didapati memiliki simptom seperti pneumonia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia kemudian mengesahkan ia adalah wabak koronavirus yang baru.