Skip to main
Logo Malaysiakini

Masjid Putra kembali jadi tumpuan pelancong asing lepas dibuka semula

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Masjid Putra di Putrajaya adalah salah satu lokasi tarikan pelancong asing sama ada bagi yang beragama Islam atau bukan Islam.

Susulan penularan virus novel koronavirus (2019-nCoV), Bernama pada 26 Jan lalu melaporkan masjid tersebut ditutup kepada pelancong asing.

Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaru, semalam dilaporkan Masjid Putra dibuka semula untuk dikunjungi pelancong asing dan pengurusan masjid berkata pihaknya akan melaksanakan garis panduan yang diberikan Kementerian Kesihatan.

Berdasarkan tinjauan Malaysiakini, sekitar jam 5 petang semalam, pelancong asing dilihat membanjiri persekitaran Masjid Putra serta Dataran Putra untuk beriadah.

Meskipun pada ketika itu hujan agak lebat, pengunjung tidak putus mengambil gambar bersama keluarga dan rakan mereka serta meneroka setiap sudut kawasan masjid berkenaan.

Tessie Lee.

Menurut Tessie Lee, yang merupakan pelancong dari Fujian, China, dia memahami tindakan pengurusan masjid yang sebelum ini menutup tempat berkenaan.

Jelasnya perkara itu juga bukan masalah kerana menurutnya kebanyakan pelancong asing cuma ingin melihat dari luar masjid itu.

“Tiada masalah sebenarnya nak tutup Masjid Putra sebab kita bukan Islam, tengok luar pun sudah okay.

“Kami pun datang sini sebab masjid ini satu tarikan pelancong,” katanya yang tiba di Malaysia tiga hari yang lalu.

Bagaimanapun, Tessie berpendapat bahawa kerajaan Malaysia sewajarnya cuma menghalang pengunjung dari Wuhan dan bukan keseluruhan warga China.

“Tetapi kalau boleh Malaysia patutnya halang orang Wuhan sahaja bukan semua orang China sebab kami suka ke Malaysia,” katanya lagi.

Langkah berjaga-jaga

Senada dengan Tessie, seorang pelancong dari Beijing China, Leah Weng, juga mengambil maklum bahawa penutupan masjid tersebut susulan koronavirus.

“Kami faham (pengurusan masjid) ambil langkah berjaga-jaga kerana ramai takut dengan virus. Negara kami pun virus ini satu isu besar.

“Kami juga tahu masjid tutup kerana sepatutnya kami datang semalam melawat masjid ini, tapi hari ini sudah buka kami datang tengok-tengok,” katanya.

Jelasnya lagi, Masjid Putra merupakan satu bangunan yang unik dan wajib diziarahi oleh setiap pelancong asing yang ke Malaysia.

Tidak ketinggalan, Leslie Goh dari Beijing, China, berkata dia memahami tindakan pihak pengurusan sebelum ini menutup masjid kerana tiada alatan bagi pemeriksaan kesihatan.

“Masjid ini kami tahu tutup tetapi tak kesan pelancongan kami sebab cuma nak ziarah (masjid) luar bukan masuk dalam.

“Langkah pihak pengurusan masjid sebab tiada alatan tu boleh dikatakan betul sebab bimbang virus ini merebak,” katanya lagi.

Pada 28 Jan lalu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohamaddin Ketapi ketika diminta mengulas berkenaan penutupan masjid itu, berkata pihaknya akan menulis surat kepada pihak masjid itu agar menghentikan penutupan berkenaan.

Malah, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad turut berkata penutupan masjid atau muzium untuk pelancong asing bukanlah dasar kerajaan dan menyifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab.

Sementara itu, pengunjung dari Jepun Kao Ru, juga mengambil maklum berkenaan wabak koronavirus yang menjadi kebimbangan banyak negara.

Tambahnya, dia yakin kerajaan Malaysia akan mengambil langkah yang sewajarnya dalam menangani virus tersebut.

“Ya koronavirus ada di negara saya juga. Malaysia pun ada saya dengar tapi ramai pelancong Jepun masih mahu ke Malaysia.

“Saya yakin kerajaan Malaysia dapat ambil langkah untuk cegah sebab hari itu saya datang pun kena periksa di lapangan terbang KLIA dan kalau demam atau sakit kena bawa ke rawatan selanjutnya,” katanya yang sudah empat hari di negara ini.

Pengunjung dari Kaiping China, Koong Liang Shen, pula berkata kerajaannya juga kini mengambil langkah pencegahan bagi menangani wabak tersebut.

Menurutnya, bermula Februari ini kerajaan China akan mula hadkan pelancong untuk keluar bercuti.

“Kerajaan kami (China) pun dah larang keluar ke mana-mana negara. Ini kerana mereka (China) mahu mengambil langkah dari menyebarkan wabak itu lagi meluas.

“Dengar kata Februari sudah mahu tutup dan hadkan tetapi orang China suka datang Malaysia," katanya.

Koronavirus mula tersebar di Wuhan, China sejak awal bulan ini apabila beberapa individu didapati memiliki simptom seperti pneumonia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia kemudian mengesahkan ia adalah wabak koronavirus yang baru.

Setakat ini, angka kes disahkan lebih 5,000 orang dan melibatkan lebih 100 kematian di China, tempat wabak itu bermula.

Di Malaysia pula, empat kes positif wabak koronavirus dicatatkan. Semalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan tiga lagi kes disyaki mengalami simptom wabak koronavirus direkodkan.