Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Terlalu awal untuk kata pelancongan Malaysia terjejas’

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi menegaskan masih terlalu awal untuk mengukur prestasi kemasukan pelancong asing ke Malaysia susulan penularan wabak Konoravirus.

Katanya, berdasarkan situasinya sekarang masih terlalu awal untuk mengatakan industri pelancongan negara akan terjejas.

"Kalau kita lihat wabak koronavirus menular, sebetulnya bukan Malaysia sahaja sebaliknya ia masalah dunia. Negara lain pun sama juga.

"Jadi, kalau kita nak kata industri pelancongan terjejas masih terlalu awal kerana virus itu tidak sampai setengah bulan berlaku.

"Kita tetap kekalkan target kita 30 juta pelancong bagi Tahun Melawat Malaysia (VM2020).

“Capai ke tidak bukan soalnya tetapi kita kekalkan sebagaimana target kita,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis bersama usahawan sempena Festival Kraf di Dataran Muhammadi, di Kota Bharu, hari ini.

Tambah Mohamaddin, sektor pelancongan Malaysia tidak hanya bergantung kepada satu negara sahaja untuk menarik kemasukan pelancong, sekali gus mencapai target 30 juta pelancong.

"Sebagai contoh tahun lalu, pelancong dari Singapura mencatatkan kemasukan paling ramai, bukannya dari China.

"Bukan sahaja Malaysia, sebaliknya semua negara tidak bergantung kepada satu negara sahaja," katanya.

Jualan produk kraf RM500 juta tahun lalu

Sementara itu mengulas mengenai kejayaan industri tekstil negara, sepanjang tahun 2019 lalu, Kraftangan Malaysia telah berjaya mencapai nilai jualan produk kraf berjumlah RM519.7 juta dan mencatatkan bilangan usahawan seramai 5,816 dan 11,096 tenaga kerja.

"Daripada jumlah ini, sebanyak 42 peratus atau RM219.7 juta merupakan nilai jualan bagi produk kraf tekstil daripada penglibatan 1,781 orang usahawan kraf tekstil.

"Industri kraf tekstil negara seperti batik, songket dan tenun terus berkembang dengan penghasilan pelbagai produk yang mengetengahkan rekaan corak yang unik, penggunaan bahan baru serta ber-identiti negeri.

"Tekstil batik Malaysia juga telah mewarnai acara-acara rasmi peringkat kebangsaan di mana pakaian batik dipakai oleh pemimpin tertinggi negara iaitu Perdana Menteri Malaysia, barisan menteri-menteri kabinet dan tetamu jemputan semasa sambutan Hari Kebangsaan 2019 dan majlis perasmian dan sambutan Ambang 2020," jelasnya.