Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Pergeseran dalaman tak jejas peluang Anwar jadi PM’

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata pergeseran dalaman yang berlaku tidak akan menjejaskan peluang presidennya Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.

Katanya, hal itu memandangkan keputusan mengenainya diputuskan oleh PH.

"Dia tak ada kaitan. [...]

"Terjejas atau tak? Bergantung pada (sama ada) PH ubah atau tak konsensus. Hari ini, tiada perubahan. Ke depan, tak ada nampak tanda-tanda perubahan apa," kata menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Kempen Beli Barangan Malaysia di Tesco Extra Kajang hari ini.

Mahathir dan Anwar

Selain konsensus PH, tambahnya, sokongan ahli parlimen juga penting memandangkan PH merupakan pakatan yang menguasai majoriti dalam parlimen.

Beliau mengulas soalan pemberita sama ada konflik dalam PKR akan menjejaskan peralihan kuasa Anwar sebagai PM kelapan menggantikan Dr Mahathir Mohamad.

Dalam PKR sendiri, terdapat perbezaan pandangan antara pemimpin tertinggi parti tentang peralihan kuasa itu adalah konsensus yang dipersetujui oleh parti-parti komponen PH sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu.

Sementara penyokong-penyokong Anwar mendesak Mahathir menetapkan segera tarikh peralihan kuasa, timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali memberi bayangan bersetuju jika Mahathir berkhidmat sebagai PM sehingga habis penggal.

Perbezaan pandangan itu memburukkan lagi pergeseran antara kem Azmindan Anwar yang sebelum ini memang berseteru secara terbuka, sebelum meruncing selepas tercetusnya skandal video seks yang dikaitkan dengan Azmin.