Skip to main
Logo Malaysiakini

Masjid Sultan di S'pura ditutup sementara untuk pelancong asing

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Masjid Sultan, yang menjadi salah satu tarikan pelancong di Singapura ditutup sementara waktu kepada pelancong asing susulan penularan virus Wuhan.

Berita Mediacorp melaporkan langkah tersebut berkuat kuasa sejak Sabtu iaitu dua hari selepas kes pertama novel koronavirus disahkan di republik itu.

Keputusan tersebut dibuat selepas perbincangan oleh Lembaga Pengamanah Masjid Sultan dan Lembaga Pentadbir masjid berkenaan.

Portal itu melaporkan, masjid berkenaan hanya dibuka kepada pelawat beragama Islam untuk menunaikan solat.

Papan tanda memaklumkan penutupan sementara itu diletakkan di kesemua 10 pintu masuk di keliling masjid, yang terletak di daerah Kampung Gelam dan Arab Street yang popular di kalangan pelancong.

Pada notis tersebut tertera pemberitahuan berbunyi: “Ditutup kepada lawatan pelancong sehingga diberitahu kemudian. Jemaah Muslim dialu-alukan untuk masuk menunaikan solat. Kami meminta maaf atas kesulitan ini”.

Pengurus Masjid Sultan, Zainal Abidin Omar berkata, pihak lembaga pentadbir masjid melaksanakan langkah pencegahan demi memastikan maslahat para jemaah dan kakitangannya selain mengelak penyakit daripada merebak.

“Kita khuatir. Jemaah kita ramai. Satu kali kalau solat, saya rasa lebih 1,000 orang. Solat Jumaat jangan cakaplah. Macam (solat Jumaat) minggu lalu, penuh masjid,” ujarnya.

Laporan itu menyebut Masjid Sultan yang diwartakan sebagai monumen negara pada tahun 1975 itu, menerima kunjungan 600 hingga 700 pelancong setiap hari.

Pada hujung minggu pula, jumlahnya melonjak kepada 1,000 pelancong sehari atau sekitar 5,000 pelancong dalam tempoh seminggu.