M'sia anugerah Beret Merun pada panglima tentera darat Thai
GLOBAL | Panglima Tentera Darat Thailand, Jen Apirat Kongsompong hari ini dianugerahkan Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat 10 Briged Para oleh Tentera Darat Malaysia di Dataran Parawood, Kem Terendak, Sungai Udang, di Melaka.
Majlis penganugerahan itu disempurnakan Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi dan disaksikan Panglima 10 Briged Para, Brig Jen Semaon Marjuki. Turut hadir Panglima Divisyen Ketiga Infantri, Mejar Jen Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.
Majlis pengurniaan itu diadakan sempena lawatan rasmi Apirat dalam mengukuhkan hubungan dua hala serta kerjasama ketenteraan yang sedia terjalin antara Tentera Darat Thailand dan Tentera Darat Malaysia selepas beliau mengambil alih jawatan itu pada 1 Okt 2018.
Penganugerahan beret dan sayap, yang menjadi kebanggaan 10 Briged Para, adalah penghormatan dan pengiktirafan briged itu terhadap individu, pemimpin tertinggi tentera atau kerajaan sama ada dalam atau luar negara.
Sebelum majlis penganugerahan, Apirat dan rombongannya dipertontonkan dengan demonstrasi dinamik 10 Briged Para iaitu Tempur Tanpa Senjata, ‘Tactical Combat Casualty Care’, Renang Tempur, ‘Abseiling’ atau ‘Repelling’, ‘Fast Roping’, Serangan Seksyen dan ‘Human Wave’ selain Tarian Perang Para melibatkan lebih 120 anggota.
Pasukan 10 Briged Para merupakan kebanggaan Angkatan Tentera Malaysia dan Tentera Darat Malaysia kerana keupayaannya melakukan atur gerak dan menggempur kedudukan musuh dengan pantas dan berkesan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai