Skip to main
Logo Malaysiakini

Duta gesa Sabah timbang semula sekatan ke atas pelancong China

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

KORONAVIRUS l Duta China ke Malaysia Bai Tian menggesa kerajaan negeri Sabah untuk menilai semula keputusannya menggantung semua penerbangan dari China.

Dalam satu sidang media di Kementerian Industri Utama, Putrajaya hari ini, Bai Tian berkata apa-apa keputusan yang diambil oleh kerajaan haruslah bersandarkan alasan yang konkrit.

"Saya sedih dengan keputusan kerajaan Sabah. Keputusan itu perlu dipertimbangkan semula kerana setiap keputusan oleh mana-mana kerajaan atau organisasi perlulah bersandarkan asas yang kukuh.

"Dalam situasi yang sulit ini, saya harap aktiviti komersil dan perdagangan antara China dan Malaysia- termasuklah Sabah- tidak akan terjejas," katanya.

Pada sidang media sama, turut diumumkan bahawa 18 juta pasang sarung tangan disumbangkan oleh sekumpulan syarikat Malaysia buat petugas kesihatan di Wuhan.

Turut hadir, wakil-wakil dari Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia ( Margma), Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia ( MREPC), serta 10 syarikat pengeluar sarung tangan.

Dalam menyampaikan rasa terima kasihnya, Bai Tian berkata pemberian itu merupakan sumbangan besar buat China dalam melawan epidemik tersebut.

"Bagi pihak kerajaan dan rakyat China, saya ingin menzahirkan rasa terima kasih dan penghargaan buat Malaysia. Terima kasih!"

Semalam, Timbalan Ketua Menteri Sabah Christina Liew mengumumkan bahawa Sabah mengambil keputusan menggantung sementara semua penerbangan berjadual dan dicarter dari China ke Sabah berkuat kuasa serta-merta bagi menjaga kesihatan dan kebajikan rakyat di negeri itu.

Sedar ia mungkin tidak diterima baik oleh pemain industri pelancongan, kata Liew, keputusan itu diambil kerana kerajaan negeri tidak mahu mendedahkan rakyat Sabah terhadap risiko terkena jangkitan koronavirus.

Sementara itu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam berkata keperluan untuk menyekat semua penerbangan dari China ke Malaysia sedang dalam kajian kerajaan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini mengisytiharkan wabak koronavirus sebagai kecemasan global yang berpotensi tersebar ke negara-negara yang mempunyai sistem kesihatan yang lemah.

Bagaimanapun, berdasarkan laporan South China Morning Post, pegawai WHO menegaskan sekatan pelancongan dan perniagaan secara drastik adalah tidak perlu dan membantah sebarang tindakan menutup pintu sempadan atau menyekat kemasukan pelancong China.

[Baca berita asal]