Skip to main
Logo Malaysiakini

Koronavirus: M'sia dah buat lebih lagi dari syor WHO - Menteri kesihatan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Malaysia telah melakukan lebih banyak langkah-langkah daripada apa yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai langkah mencegah penyebaran wabak koronavirus novel, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad hari ini.

"Saya ingin menekankan kami telah sebenarnya ambil beberapa langkah untuk terus menjalankan sebenarnya terdahulu daripada apa yang WHO tekankan," kata beliau pada sidang akhbar di Putrajaya.

Menurut Dr Dzulkefly, Malaysia juga berkongsi maklumat dan data dengan negara Asean lain.

"Tentang penilaian dan komunikasi itu semua kita sentiasa dalam komunikasi dengan negara-negar Asean.

"Ini termasuklah pengawasan secara aktif dan perkongsian maklumat

"...kita telah kongsi dengan negara Asean tentang analisis situasi, tentang pencegahan dan respons dan perkongsian data," katanya.

Katanya, WHO meminta ujian tekak dilakukan kepada mereka yang menunjukkan tanda-tanda tetapi Malaysia telah mengambil langkah lebih jauh daripada itu dengan melakukan ujian tekak terhadap semua pelancong dari China atau individu yang memiliki sejarah perjalanan ke China, sama ada mereka mempunyai gejala koronavirus atau tidak .

Kami juga membuat pengesanan terhadap seseorang yang pernah berhubungan dengan individu yang dijangkiti virus itu, jelasnya.

"Itu telah kita lakukan secara realtime malah sebelum penekanan oleh WHO untuk meningkatkan pengawasan secara aktif," kata Dzulkefly merujuk garis panduan WHO.

Kementerian Kesihatan melaporkan tiada kes jangkitan koronavirus baru di Malaysia hari ini.

Jumlah mereka yang dikategorikan sebagai Pesakit Di bawah Siasatan (PUI) berjumlah 127 orang, di mana 68 ialah rakyat Malaysia, 56 warga China dan seorang dari Jordan, Brazil, dan Thailand.

Tiga daripada mereka yang dijangkiti ialah daripada kumpulan PUI, manakala lima yang lain menghidap virus itu selepas bersentuhan dengan orang lain yang telah dijangkiti.

Selain itu, terdapat sejumlah 107 kes yang diuji negatif untuk virus itu, manakala 17 lagi masih belum selesai keputusan ujiannya.