Skip to main
Logo Malaysiakini

Singapura umum langkah baru untuk pelawat kunjungi China

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) hari ini mengumumkan semua pelawat baru yang pernah ke China dalam tempoh 14 hari lalu tidak akan dibenarkan masuk atau transit di Singapura, berkuat kuasa hari ini.

MOH dalam satu kenyataan berkata langkah itu diputuskan Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian Singapura mengenai 2019 novel koronavirus bagi mengehadkan potensi risiko penyakit daripada pelawat baru tiba dari China.

Kementerian itu berkata dalam penilaian mereka, wajar mengambil langkah pencegahan tambahan pada peringkat sekarang memandangkan terdapat kemungkinan peningkatan jangkitan daripada pelawat baru yang tiba dari kawasan lain di China.

Pihak Berkuasa Imigresen dan Pemeriksaan (ICA) Singapura juga menggantung pengeluaran semua bentuk visa baru kepada pemegang pasport China, berkuat kuasa serta-merta.

Status Singapura sebagai kemudahan transit tanpa visa untuk pemegang pasport China juga digantung.

MOH berkata visa jangka pendek dan pelbagai lawatan untuk pemegang pasport China yang dikeluarkan sebelum ini turut digantung.

“Sepanjang masa tempoh penggantungan ini, mereka tidak akan dibenarkan masuk ke Singapura,” kata kementerian terbabit.

Sementara itu, rakyat Singapura atau pemastautin tetap negara itu yang pernah ke China dalam tempoh 14 hari lepas akan diberikan surat makluman untuk diberikan cuti selama 14 hari dari hari dari tarikh mereka pulang, berkuat kuasa serta-merta.

Kata MOH, langkah itu juga terpakai kepada pemegang pas jangka panjang (termasuk pas kerja dan permit, pas pelajar, pas tanggungan dan pas lawatan jangka panjang) yang pernah ke China dalam tempoh 14 hari lepas.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan wabak novel koronavirus sebagai sebagai darurat kesihatan dunia.

“Pengisytiharan ini menetapkan platform untuk satu usaha sejagat terselaras bagi meningkatkan persediaan rantau lain di dunia,” kata MOH.

- Bernama