Skip to main
Logo Malaysiakini

Kadar lebih rendah lebuh raya mula dinikmati pengguna

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Jutaan rakyat Malaysia mula menikmati kadar tol 18 peratus lebih rendah bermula tengah malam tadi yang merupakan penjimatan yang cukup ketara buat semua pihak.

Bukan sahaja pengguna lebuh raya, malah penstrukturan semula itu juga membolehkan kerajaan membuat penjimatan RM42 bilion sepanjang tempoh konsesi baru sehingga 2058.

Selain itu, mengikut perhitungan yang dibuat kerajaan, untuk tahun ini saja, kerajaan dan pengguna akan turut menyaksikan jumlah penjimatan sehingga RM1.1 bilion secara langsung.

Ia termasuk penjimatan RM0.5 bilion daripada diskaun 18 peratus dan juga penjimatan RM0.6 bilion daripada bayaran pampasan kerajaan untuk membekukan kenaikan kadar tol.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata penjimatan itu akan dapat disalurkan untuk program-program kebajikan serta pembangunan ekonomi yang akan memanfaatkan rakyat secara keseluruhan.

“Dengan penurunan kadar tol berkuat kuasa 1 Feb 2020, kerajaan mengambil suatu langkah besar ke arah memenuhi janji untuk menghapuskan tol secara berperingkat dengan merundingkan semula perjanjian konsesi lebuh raya, seperti dinyatakan Manifesto PH,” katanya baru-baru ini.

Mengimbas kembali, jemaah menteri yang bermesyuarat pada 15 Jan lalu memutuskan diskaun kadar tol sebanyak 18 peratus itu akan diberikan kepada kenderaan penumpang, bas dan teksi (iaitu kelas 1, 4 dan 5) di lebuh raya terlibat, iaitu:

  • Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE)
  • Lebuhraya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (Elite)
  • Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia – Singapura (Linkedua)
  • Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2)
  • Lebuhraya Seremban – Port Dickson (SPDH)
  • Lebuhraya Butterworth – Kulim (BKE)

Diskaun itu juga diberikan kepada kenderaan kelas 2, 3, 4 dan 5 yang menggunakan Jambatan Pulau Pinang.

Dengan berkuatkuasanya pengurangan kadar tol pada 12 tengah malam tadi, kadar tol baru itu berkurang daripada 13.6 sen bagi setiap km kepada 11.15 sen setiap km.

Kadar itu adalah lebih rendah berbanding kadar tol pada 1999 iaitu 11.24 sen/km.

Akan lebih ketara

Kadar tol Jalan Duta ke Alor Setar pula ditetapkan kepada RM45.50 berbanding RM55.50 sebelum ini, manakala kadar tol Jalan Duta ke Skudai menurun kepada RM38.50 daripada RM47 sebelum ini.

Keputusan Putrajaya itu pastinya mengubah landskap ekonomi negara khasnya dalam bidang pengangkutan, apabila lebih ramai lagi pengguna dijangka membanjiri jajaran lebuh raya Plus yang mendominasi keseluruhan lebuh raya di Malaysia.

Bagi yang menggunakan lebuh raya untuk berulang-alik dari rumah ke tempat kerja setiap hari, mereka akan merasai impak penurunan kadar tol ini dengan lebih ketara berbanding pengguna bermusim atau mereka yang tinggal di luar bandar.

Secara umumnya memang tidak dapat dinafikan dari sudut perbelanjaan pengangkutan, kebanyakan isi rumah memperuntukkan sebahagian besar perbelanjaan ke atas bayaran tol dan petrol.

Pastinya pengurangan kadar tol itu juga berbaloi bagi perjalanan jauh khasnya ketika musim perayaan, cuti sekolah, cuti tahunan, cuti panjang atau pulang ke kampung pada hujung minggu.

Sementara itu, dalam satu kenyataan Plus berkata syarikat itu akan terus komited untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik pada setiap masa, termasuklah dari aspek operasi dan penyelenggaraan serta pengalaman perjalanan semua pelanggannya.

Plus juga akan menggiatkan usaha membantu meringankan kos hidup rakyat dan memainkan peranannya sebagai rakan negara dalam menyokong usaha-usaha krajaan memberi manfaat dan impak yang positif kepada masyarakat.

Pengurangan tol itu juga menyerlahkan keprihatinan kerajaan PH dalam merasai denyut nadi rakyat, membantu usaha menangani isu kos sara hidup.

- Bernama