Musa cuma malukan diri sendiri, kata Pemuda DAP
Kenyataan dibuat Musa Hassan yang mengaitkan DAP dengan Parti Komunis Malaya (PKM) hanya memalukan bekas ketua polis negara itu sendiri, kata ketua pemuda parti berkenaan, Howard Lee.
Merujuk petikan sebuah klip video tular - dirakam ketika syarahan berkaitan PKM di Universiti Teknologi Mara (UiTM) - Lee berkata Musa menyalahgunakan kedudukannya sebagai bekas ketua polis negara dengan menyebarkan “cerita khayalan mengikut rentak tuan politiknya.”
“Ini adalah kerana dakwaan jahatnya itu bukan fakta sejarah, sebaliknya fitnah yang sering dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu yang sentiasa menaburkan kebencian perkauman di negara ini.
“Sebagai peringatan, bekas pengerusi PKM, Abdullah CD - yang masih hidup dan bermastautin di selatan Thailand - dalam satu wawancara media pada Dis tahun lalu menafikan kaitan DAP dengan komunis.
“Malah, bagi pemimpin komunis itu berkata dakwaan DAP pertubuhan komunis adalah melucukan kerana baginya hanya PKM satu-satunya parti yang membawa ideologi komunis di Malaysia,” kata Lee.
Adun Pasir Panji di Ipoh, Perak itu juga berkata ucapan Musa ditambah pula dengan tuduhan terhadap Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, yang dituduh ingin menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian.
“Tuduhan jahat yang boleh menimbulkan huru-hara ini tidak boleh diterima sama sekali!” katanya.
Justeru, Lee yang juga salah seorang exco Perak berkata, satu laporan polis akan dibuat terhadap Musa berikutan kenyataan berkenaan.
“Laporan polis akan dibuat terhadap Musa dan saya berharap polis dapat mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap tuduhan-tuduhan melulu beliau yang boleh menimbulkan ketegangan dalam kalangan rakyat,” katanya.
Untuk rekod, pada 1 Dis lalu kira-kira 300 orang menghadiri perjumpaan dan perhimpunan sebagai memperingati perjanjian dalam di antara PKM dan kerajaan Malaysia.
Ia mencetuskan kontroversi dengan ada pihak mendakwa ia merupakan usaha menghidupkan semula ideologi komunis di Malaysia.
Malaysia menandatangani perjanjian dalam dengan PKM di Hat Yai, Thailand pada 2 Dis 1989 yang membawa kepada persetujuan parti itu meletak senjata sekali gus menamatkan penentangan mereka kepada kerajaan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai