Skip to main
Logo Malaysiakini

Nor Salwani dianugerahkan gelaran Datuk

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pengarah Sektor Audit Tadbir Urus, Jabatan Audit Negara Nor Salwani Muhammad hari ini dianugerahkan gelaran Datuk oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Nor Salwani pada November tahun lalu mencuri perhatian apabila mendedahkan tindakannya menyimpan salinan asal laporan audit 1MDB yang diarahkan dimusnahkan.

Salinan itu dikemukakan sebagai bukti dalam perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak yang dituduh mengarahkan pindaan ke atas laporan audit berkenaan.

Salwani juga membekalkan bukti utama dalam bentuk rakaman audio selama dua jam dan 45 minit yang dirakamkan pada mesyuarat 24 Februari 2016, yang dihadiri oleh pegawai tertinggi kerajaan dan 1MDB.

Bosnya pada masa itu iaitu Ketua Audit Negara Ambrin Buang mengarahkan semua 60 salinan dimusnahkan untuk mengelakkan kebocoran.

Hanya salinan yang telah dipinda dikemukakan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.

Nor Salwani adalah antara 25 penerima darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk.

Seramai 188 orang dianugerahkan darjah kebesaran, bintang dan pingat oleh Yang di-Pertuan Agong hari ini sempena Hari Wilayah Persekutuan di Istana Melawati.

Mendahului senarai penerima ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Mohd Zawawi Salleh yang menerima darjah Seri Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk Seri.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad, ketika ditemui mengucapkan tahniah kepada Nor Salwani atas penganugerahan berkenaan.