Nak sangat jadi PM buat undi tak percayalah, kata Hadi
PAS tetap dengan pendirian agar Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai perdana menteri sehingga tamat penggal pilihan raya umum ke-14, meskipun terus menerus diasak untuk melepaskan jawatannya.
Presidennya, Abdul Hadi Awang berkata ini kerana suasana ketika ini memerlukan Mahathir kekal memegang jawatannya.
"Ya, (PAS) masih mengekalkan sokongan kepada Tun (Mahathir) dan masih lagi mempertahankan Tun untuk menjadi perdana menteri, kerana suasana yang ada ini Tun perlu jadi perdana menteri," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan khas di Konvensyen Wanita Muda Se-Malaysia di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini.
Abdul Hadi berkata demikian mengulas desakan agar Mahathir melepaskan jawatannya.
Mengulas lanjut, anggota Parlimen Marang itu berkata isu peralihan kuasa perdana menteri yang hangat dibincangkan hanya boleh berlaku dengan cara peletakan jawatan dan mengadakan undi tidak percaya di Parlimen.
Abdul Hadi berkata undi tidak percaya akan lebih memudahkan pihak yang mahukan peralihan kuasa tersebut berlaku.
"Demokrasi ini macam-macam boleh berlaku, antaranya ialah seperti yang diuar-uarkan ialah perdana menteri letak jawatan dan ganti orang lain, kedua undi tak percaya di Parlimen.
"Jadi, pihak yang nak sangat (jadi PM) ini buat undi tak percayalah. Dan bagi saya, lebih baik pilih yang undi tak percaya itu, tak menyusahkan rakyat sangat,” katanya.
Abdul Hadi berkata Mahathir berjaya menjatuhkan kerajaan ketika pilihan raya umum lalu dan ini berbeza ketika zaman Tengku Razaleigh Hamzah dan Anwar Ibrahim mengetuai pembangkang.
“Walaupun kita tak setuju dengan kerajaan, tapi pilihan raya dah berlaku. Ada proses demokrasinya. Proses demokrasinya ialah undi tidak percaya di parlimen, itu lebih mudah,” katanya.
Mengulas kemungkinan PRU15 akan diadakan lebih awal, Abdul Hadi berkata perkara itu tertakluk kepada bidang kuasa perdana menteri dan Yang di-Pertuan Agong untuk memperkenankan pembubaran parlimen.
'G25 patut minta maaf, bukan saya'
Sementara itu, mengulas desakan kumpulan bekas penjawat tinggi agar beliau membuat permohonan maaf terbuka, Abdul Hadi menegaskan bahawa merekalah yang perlu berbuat demikian.
"Patutnya dia yang minta maaf bukan saya. Mereka yang kena minta maaf pada umat Islam dan saya bercakap bagi pihak umat Islam," katanya ringkas.
Abdul Hadi dalam satu kenyataan dua minggu lalu menyifatkan G25 sebagai kumpulan makhluk perosak, jahil dan bebal serta lebih bahaya daripada kumpulan militan al-Maunah.
Kenyataan itu dibuat susulan laporan G25 bertajuk "Administration of Matters Pertaining Islam" yang menyuarakan kritikan terhadap undang-undang Islam terhadap Muslim dengan mengatakan tindakan murtad misalnya adalah urusan seseorang dengan tuhan.
Bagaimanapun G25 berkata kenyataan Abdul Hadi menunjukkan presiden PAS itu tidak membaca laporan tersebut.
Mereka juga mengancam akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya Abdul Hadi tidak mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai