AirAsia nafi salah laku dalam siasatan terhadap Airbus
Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia menafikan terbabit dalam salah laku yang dikaitkan dengan siasatan oleh Serious Fraud Office (SFO) United Kingdom (UK) terhadap syarikat pembuat pesawat, Airbus.
AirAsia dalam satu kenyataan malam ini, menyangkal laporan media yang mengaitkannya dengan dakwaan rasuah itu dan menjelaskan tidak terbabit dalam siasatan SFO.
Syarikat penerbangan itu turut menafikan dakwaan salah laku berhubung penajaan sebuah pasukan sukan yang dimiliki eksekutifnya.
“Ärtikel itu menyatakan mengenai perjanjian tertentu oleh AirAsia dan syarikat menafikan semua dakwaan salah laku itu.
“Pembelian setiap pesawat tidak pernah diputuskan oleh individu tetapi melalui penilaian yang teliti, perbincangan dan keputusan kolektif ahli lembaga selepas mengambil kira pelbagai perkara termasuk spesifikasi teknikal, prestasi penerbangan pesawat dan kos operasi.
“Ia juga merangkumi kemampuan pesawat dan tawaran harga menarik untuk memastikan kami kekal berdaya saing dalam perniagaan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah M alaysia (SPRM) bahawa siasatan terhadap dakwaan rasuah melibatkan Airbus dan dua eksekutif AirAsia telah dimulakan.
Ketua pesuruhjayanya Latheefa Koya berkata, antara tindakan yang telah diambil ialah menghubungi pihak berkuasa di UK berkenaan perkara itu.
Latheefa merujuk laporan akhbar UK, The Telegraph yang mendakwa AirAsia dan airAsiaX sebagai antara yang didakwa menerima rasuah daripada Airbus.
Menurut laporan itu yang disiarkan semalam, dokumen mahkamah didakwa menyebut Airbus memberi rasuah kepada dua "eksekutif yang tidak dinamakan" AirAsia dan airAsiaX untuk mendapatkan kontrak.
AirAsia bagaimanapun berkata, sejak menjadi pelanggan Airbus pada 2005, mereka tidak pernah membuat keputusan pembelian berdasarkan kepada penajaan Airbus.
“Kami ingin menekankan, setiap rundingan dan urusan yang membawa kepada pemeteraian perjanjian pembelian pesawat dilakukan secara langsung dengan Airbus tanpa membabitkan pihak ketiga atau perantara.
“Malah, eksekutif kami juga berunding secara ketat demi kepentingan syarikat dan suci hati," katanya menambah laporan media dibuat secara tidak tepat.
Mengenai penajaan Airbus dalam pasukan sukan, AirAsia menjelaskan ia dilakukan menerusi penilaian dan kelulusan dalaman sebelum diluluskan oleh lembaga.
“Kami tidak boleh memberi sebarang pandangan mengenai kegagalan dan kelalaian yang dikatakan berlaku di pihak Airbus, kerana AirAsia dan eksekutif kami tidak mempunyai sebarang pandangan dalam proses dalaman Airbus,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai