Skip to main
Logo Malaysiakini

K'jaan pertimbang pakej rangsangan bagi kurangkan kesan ekonomi koronavirus

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Sekiranya penularan wabak koronavirus berlarutan dalam tempoh masa yang panjang dan memberi kesan ke atas ekonomi China, ekonomi Malaysia juga akan terjejas memandangkan China merupakan antara rakan dagangan terpenting Malaysia, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.

Justeru, kata Azmin, kerajaan bersama-sama dengan agensi antarabangsa dan pihak swasta akan mengambil langkah proaktif berasaskan kepada fakta dan maklumat terkini bagi mengurangkan kesan negatif penularan wabak itu ke atas ekonomi Malaysia.

"Pakej rangsangan yang sedang dipertimbangkan oleh kerajaan bukanlah sekadar memberi suntikan kepada ekonomi, namun turut memberi keutamaan terhadap keperluan yang boleh menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam kenyataan itu, Azmin bagaimanapun tidak memperincikan pakej rangsangan yang dimaksudkannya.

Timbalan presiden PKR itu menjelaskan bahawa antara sektor yang dijangka menerima kesan ialah sektor pelancongan, penerbangan (airlines), pengangkutan, pendidikan, pembuatan dan pembinaan.

Menurutnya, bagi tahun 2020, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi menyediakan peruntukan sebanyak RM227 juta untuk pembelian peralatan perubatan dan bukan perubatan untuk semua fasiliti kesihatan di seluruh negara.

"MEA juga bersedia untuk mempertimbangkan tambahan peruntukan sekiranya diperlukan. Kerajaan akan memberi keutamaan terhadap kesihatan dan keselamatan rakyat," katanya.

Beliau menekankan bahawa beberapa langkah telah diambil untuk memastikan kesediaan negara untuk menangani wabak itu mengikut cadangan Organisasi Kesihatan Antarabangsa (WHO).

"Antara langkah yang telah diambil oleh kerajaan termasuk meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai langkah kesihatan yang perlu diambil dalam menangani wabak tersebut.

"Rakyat juga dinasihatkan supaya sentiasa mendapatkan berita terkini daripada sumber rasmi kerajaan, khususnya daripada Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya.

Koronavirus setakat ini mengorbankan 259 nyawa di China.

WHO mengumumkan kecemasan global susulan penularan wabak itu yang melibatkan 24 negara termasuk Malaysia.