Skip to main
Logo Malaysiakini

TI-M gesa siasatan bebas dalam dakwaan rasuah AirAsia

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Transparency International Malaysia (TI-M) mahu siasatan bebas dijalankan ke atas dakwaan mengaitkan eksekutif AirAsia dan AirAsia X menerima rasuah dari pengeluar pesawat Eropah Airbus.

Maklum bahawa AirAsia telah menafikan bahawa pengarah dan/atau kakitangan mereka menerima rasuah sebanyak RM240 juta, TI-M tetap menggesa lembaga AirAsia dan AirAsia X untuk menyiasat perkara itu.

"Berita ini menggangu kerana ia adalah jenama tempatan dan kerajaan melakukan yang terbaik untuk Malaysia dikenali kerana integriti dan bukannya rasuah," kata TI-M dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya mengesahkan bahawa ia telah melancarkan siasatan berhubung dakwaan itu kini sedang behubung dengan pihak berkuasa di UK mengenai perkara berkenaan.

"Di bawah Akta SPRM 2009 kita diberi kuasa, dan mempunyai bidang kuasa untuk menyiasat apa-apa perbuatan rasuah yang dilakukan oleh mana-mana warganegara Malaysia atau pemastautin tetap di mana-mana tempat di luar Malaysia.

"Dalam kes penzahiran Airbus-Airasia, saya mengesahkan bahawa SPRM berhubung dengan pihak berkuasa UK dan menyiasat perkara itu," katanya.

TI-M turut menggesa Air Asia dan Air Asia X untuk menjalankan siasatan sendiri dan memaklumkan kepada orang ramai tentang hal sebenar.

"TI-Malaysia juga menggesa Suruhanjaya Sekuriti melakukan siasatan bebas kerana perkara ini adalah kepentingan umum," katanya.

"Di UK, Airbus akan tertakluk kepada Seksyen 7 Akta Rasuah UK 2010. Akta Rasuah UK 2010 menggabungkan Seksyen 7 bertajuk Kegagalan Mencegah Rasuah.

"Di sini di Malaysia kita mempunyai peruntukan yang sama yang disebut Peruntukan Liabiliti Korporat iaitu Seksyen 17A dalam Akta SPRM 2018. Peruntukan ini akan berkuatkuasa sehingga Jun 2020," kata TI-M.

TI-M berkata bahawa "berita mengganggu" ini yang melibatkan dua syarikat Malaysia menjelaskan mengapa Seksyen 17A sangat diperlukan untuk memastikan tadbir urus yang baik dalam semua organisasi komersial di Malaysia dan syarikat-syarikat serta para pengarah harus bertanggungjawab untuk membuat prosedur yang mencukupi bagi mengurangkan risiko rasuah.