Skip to main
Logo Malaysiakini

Pasukan peninjau kedutaan Malaysia selamat tiba di Wuhan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pasukan peninjau kedutaan Malaysia yang terdiri daripada enam pegawai selamat tiba di Wuhan bagi membantu menyelaraskan proses membawa pulang 120 rakyat Malaysia dari wilayah Hubei yang merupakan pusat wabak koronavirus yang kini mengorbankan 304 nyawa.

Pasukan itu dilaporkan tiba kira-kira jam 3.30 pagi hari ini selepas perjalanan selama hampir 13 jam.

Duta Malaysia ke Beijing Raja Nushirwan Zainal Abidin memberitahu Astro Awani bahawa pasukan itu tidak dapat memberikan apa-apa maklumat terkini setakat pagi tadi.

Pasukan itu ditugaskan untuk menyusun dan mengemas kini senarai rakyat Malaysia di wilayah berkenaan.

Pasukan itu juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk memperkemaskan proses penghantaran balik.

Mereka yang terlibat dijangka kembali dengan penerbangan komersial dalam masa terdekat, mungkin seawal esok.

Bagaimanapun, perkara itu masih belum disahkan dengan Nushirwan berkata bahawa butiran mengenai tarikh penghantaran pulang akan diumumkan oleh kerajaan Malaysia sebaik sahaja ia mencapai persetujuan dengan kerajaan China.