S'jaya Polisi Dadah Global sambut baik usaha Dr Dzul
Suruhanjaya Polisi Dadah Global menyambut baik hasrat Kementerian Kesihatan untuk memperkenalkan dasar nyah jenayah dadah - suatu polisi menangani masalah penyalahgunaan dadah dengan melayan penagih bukan sebagai penjenayah tetapi pesakit yang perlu dirawat oleh profesional perubatan.
Bagi pengerusinya Ruth Dreifuss, yang juga bekas presiden Switzerland, langkah yang diambil Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad adalah suatu yang berani.
"Bagi saya menteri kesihatan anda sangat berani untuk memperkenalkannya (nyah jenayah penagih dadah) di Malaysia.
"Malah ia bukan hanya (langkah) berani tetapi logik untuknya menyatakan tiada yang dapat menghalang beliau melaksanakan tanggungjawab beliau bagi sebarang tindakan yang diambilnya," katanya ketika wawancara bersama Malaysiakini di Kuala Lumpur, pada Jumaat lalu.
Dreifuss (gambar, bawah) juga berkata usaha Dr Dzulkefly itu meningkatkan wibawanya sebagai doktor dan menteri kesihatan.
"Tugas saya (doktor) adalah merawat orang dan memberikan mereka perkhidmatan kesihatan. Jika saya tidak boleh berbuat demikian bermakna saya tidak boleh melaksanakan tugas saya.
"Ini cara saya faham pendirian beliau (Dr Dzulkefly) dan ini juga pendirian saya jadi sila benarkan saya buat kerja saya.
“Dari sudut perubatan, saya perlu katakan bahawa kami juga mempunyai rawatan istimewa di Switzerland untuk mengurangkan kemudaratan bagi mereka di penjara bukan hanya penyalahgunaan dadah tetapi kesalahan merompak dan lain-lain.
"Itu adalah penting dan dasar diperkenalkan Dr Dzulkefly (dekriminalisasi dadah) dapat meningkatkan kredibilitinya sebagai doktor dan juga menteri kesihatan,” kata Dreifuss.
Menteri kesihatan mengumumkan rancangan itu pada Jun 2019 yang disifatkannya sebagai satu "dasar pembawa perubahan (gamechanger) yang penting."
Polisi ini menumpukan kepada pengurangan mudarat terhadap diri penagih, masyarakat dan negara.
Dr Dzulkefly berkata dasar tersebut akan dapat menangani masalah penyalahgunaan dadah berdasarkan aspek kesihatan dan bukti saintifik serta tidak bermaksud menghalalkan penagihan dan kesalahan pengedaran dadah.
"Dekriminalisasi adalah penghapusan hukuman jenayah kerana memiliki dan menggunakan dadah dengan kuantiti kecil untuk kegunaan peribadi...Pengedaran dadah pastinya kekal sebagai kesalahan jenayah," katanya ketika itu.
Ia juga mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan, dengna menterinya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata usaha itu akan dipercepatkan menerusi penubuhan jawatankuasa khas bagi menangani masalah itu.
Hasrat itu bagaimanapun menerima bantahan beberapa pihak, antaranya Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man yang berkata ia boleh membawa pergantungan kepada ketagihan.
Selama tiga dekad, dasar pengurangan mudarat ini bermula dengan program akar umbi NGO seperti Pink Triangle, Ikhlas Dropping Center dan Majlis Aids Malaysia pada dekad 1990an di Chow Kit, Kuala Lumpur.
Pentadbiran BN terdahulu turut melaksanakan beberapa program ujian pengurangan mudarat. Misalnya program klinik methadone dan pertukaran jarum bagi penagih heroin yang berjaya mengurangkan penularan HIV melalui perkongsian suntikan.
Menurut kajian institut penyelidikan Aids (Ceria) Universiti Malaya, penurunan signifikan dapat dilihat apabila hanya 115 kes jangkitan baru HIV pada 2017 berbanding 4,000 kes pada 2005.
PH dalam manifesto Buku Harapan PRU14 berjanji untuk menjadikan polisi pengurangan mudarat ini sebagai dasar kerajaan jika mengambil alih pentadbiran negara.
Pengurangan mudarat di Switzerland
Ketika berucap dalam satu forum Khamis lalu, Dzulkefly mengakui pengenalan dasar itu di Malaysia bukan perkara yang mudah, dan mungkin mengundang tindak balas.
Namun beliau berkata setiap dasar yang dbuat perlu berdasarkan bukti, bukan "kepercayaan atau tanggapan peribadi", dan menyatakan komitmen untuk melaksanakannya dalam penggal ini.
Forum berjudul "Menyemak kembali dasar dadah di Malaysia bersama Suruhanjaya Polisi Dadah Global" itu anjuran Fakulti Perubatan Universiti Malaya.
Selain menteri kesihatan dan Dreifuss, majlis itu turut menampilkan ahli panel antara lainnya, Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Adeeba Kamarulzaman, bekas presiden Timor Leste, Ramos Horta, bekas menteri Australia Barat, Geoff Gallop dan peguam Samantha Chong.
30 tahun dulu, ada 'taman jarum' di Zurich
Dreifuss ketika wawancara bersama Malaysiakini turut berkongsi pengalaman rawatan pengurangan mudarat (harm reduction) di Switzerland yang diberikan kepada mereka yang terjerumus dalam penagihan dadah.
Tiga puluh tahun yang lalu, Switzerland menghadapi krisis ketagihan dadah. Negara itu mempunyai kadar jangkitan HIV tertinggi di Eropah Barat. Setiap hari kira-kira 1,000 penagih dadah akan berkumpul di taman Platzspitz yang terkenal di Zurich dengan gelaran "taman jarum."
Dreifuss, yang juga menteri dalam negeri dari tahun 1993 hingga 2002, sedar 'perang terhadap dadah' adalah suatu kegagalan.
Dari 1999 sehingga 2002, Dreifuss menjadi presiden Switzerland dan ketika itulah beliau menerapkan transformasi dasar pengurangan mudarat yang akhirnya membuahkan hasil.
Pihak berkuasa Switzerland membenarkan eksperimen seperti program pertukaran jarum suntikan dan klinik rawatan selamat yang menawarkan bilik mandi, tempat tidur dan aspek kebersihan yang dipantau pegawai perubatan.
Dasar inovatif untuk menyediakan penagih dadah dengan methadone percuma dan jarum bersih telah mengurangkan kematian sambil mengurangkan kadar jenayah.
Menurut laporan jurnal perubatan Lancet, dasar pengurangan mudarat di Switzerland itu berjaya mengurangkan kadar jenayah termasuklah pengurangan 85 peratus kes curi di kedai dan 83 peratus penurunan jualan dadah haram kelas berat. Selepas setahun mendapat rawatan, berlaku penurunan 100 peratus tabiat jenayah di kalangan pesakit ketagihan dadah.
Kisah kejayaan ini mungkin bertentangan dengan dasar perang dadah yang diisytiharkan presiden Amerika Syarikat Richard Nixon pada 1971 dan kemudiannya diangkat menjadi polisi negara di seluruh dunia.
Bagaimanapun, sistem perundangan keras itu masih tidak menghalang masalah penyalagunaan dadah serta tidak melumpuhkan dalang sindiket perdagangan dengan nilai berbilion dolar. Seringkali yang terhukum dengan hukuman berat adalah keldai dadah dan penagih dadah yang berhadapan pemenjaraan, malah hukuman mati.
Anak-anak kita bedepan kematian
Dreifuss bakal menyambut ulang tahun ke 80 bulan depan tetapi beliau bukanlah seorang pemimpin yang mahu menikmati persaraan dengan tenang. Sebaliknya sebagai antara pengasas dan pengerusi Suruhanjaya Polisi Dadah Global, beliau masih bergerak ke merata dunia menganjurkan perubahan minda.
"Pertama sekali, saya fikir diri saya sebagai seorang ibu. Seorang ibu yang mahu membantu anaknya yang bermasalah. Pengguna dadah mempunyai masalah, ada yang menghidap Aids, ada yang meninggal dunia pada usia muda - ia suatu fenomena.
"Jadi renungkanlah, siapa pengguna dadah itu - mereka anak-anak kita. Jadi, mari kita cari penyelesaian yang menjadikan mereka bukan sebagai penjenayah tetapi sebagai manusia," katanya kepada Malaysiakini.
Dreifuss ialah perintis yang mengubah perspektif dan meyakinkan pemikiran golongan konservatif bahawa menolong penagih dadah akan membawa mereka keluar daripada masalah penyalahgunaan bahan itu serta kembali menjadi anggota masyarakat yang berfungsi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai