Skip to main
Logo Malaysiakini

S'jaya Sekuriti teliti dakwaan rasuah AirAsia

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Syed Zaid Albar (gambar, atas) mengesahkan organisasinya akan meneliti pendedahan bahawa eksekutif AirAsia dan AirAsia X didakwa di antara individu yang menerima rasuah daripada pengilang pesawat Airbus Eropah.

"Pernyataan fakta dalam kes Regina vs Airbus SE mendedahkan beberapa dakwaan terhadap AirAsia Group Bhd dan AirAsia X Bhd.

"Oleh kerana kedua-duanya disenaraikan di Bursa Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan mengkaji tuduhan dan mengkaji semua bukti yang ada untuk menentukan sekiranya terdapat sebarang pelanggaran undang-undang sekuriti," kata Syed Zaid dalam satu kenyataan hari ini.

"Di bawah Seksyen 317A Akta Pasaran & Perkhidmatan Modal 2007 (CMSA), pengarah sebuah syarikat awam tersenarai (PLC) yang melakukan apa-apa dengan niat menyebabkan kerugian salah kepada PLC atau perbadanan berkaitannya melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum penjara dan denda," katanya lagi.

Pengumuman ini susulan laporan akhbar United Kingdom, The Telegraph yang memetik dokumen mahkamah yang didakwa menyebut dua "eksekutif tidak bernama" dalam syarikat AirAsia dan AirAsiaX sebagai antara mereka yang didakwa menerima rasuah daripada Airbus untuk mendapatkan kontrak.

Laporan itu berkata syarikat penerbangan tersebut kemudian memesan 180 pesawat daripada Airbus dan kedua-dua eksekutif yang tidak dinamakan itu "diberi ganjaran kerana pesanan pesawat berkenaan" yang "didapatkan dengan cara yang tidak wajar", seperti yang dijelaskan oleh dokumen mahkamah.

Laporan itu juga mengatakan Airbus membayar AS$ 50 juta dan menawarkan AS$ 55 juta lagi untuk menaja pasukan sukan yang dikaitkan dengan dua eksekutif yang digambarkan sebagai "pembuat keputusan utama" dalam AirAsia dan AirAsiaX.

AirAsia menafikan sebarang salah laku dalam kes itu dan tuduhan bahawa para pengarah dan/ atau kakitangannya menerima rasuah.

[Baca berita asal]