Skip to main
Logo Malaysiakini

Doktor Thailand dakwa temui perkembangan rawatan koronavirus

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Doktor di Thailand hari ini berkata telah melihat kejayaan dalam merawat kes jangkitan novel koronavirus yang teruk dengan kombinasi ubat untuk selsema dan HIV, dengan keputusan awal menunjukkan keadaan yang jauh bertambah baik selepas 48 jam menjalani rawatan.

Doktor di Hospital Rajavithi di Bangkok berkata, pendekatan baru dalam rawatan koronavirus telah menambah baik keadaan beberapa pesakit di bawah jagaan mereka, termasuk perempuan berusia 70 tahun dari Wuhan yang didapati positif koronavirus selama sepuluh hari.

Rawatan termasuk campuran ubat anti-HIV lopinavir dan ritonavir, dengan kombinasi ubat selsema, oseltamivir dalam dos yang besar.

"Ini bukan penawar, tetapi keadaan pesakit jauh bertambah baik. Daripada disahkan positif selama 10 hari di bawah jagaan kami, selepas menggunakan kombinasi ubat ini keputusan ujian menjadi negatif selepas 48 jam," kata pakar paru-paru Hospital Rajavithi, Dr Kriangsa Atipornwanich.

"Ini keadaan yang bagus tetapi kita perlu buat lebih penyelidikan untuk memastikan ini boleh menjadi rawatan standard."

Pegawai kesihatan Cina telah menggunakan ubat selsema dan HIV untuk melawan koronavirus. Penggunaan tiga ubat secara bersama dalam koktel tampak menambah baik rawatan, kata doktor Thailand.

Seorang lagi doktor berkata, pendekatan serupa kepada dua lagi pesakit mendapati salah seorang menunjukkan reaksi alergi, tetapi seorang lagi menunjukkan kemajuan.

"Kami mengikut amalan antarabangsa tetapi doktor menambah dos salah satu ubat," kata ketua pengarah Jabatan Perkhidmatan Perubatan Somsak Akkslim, merujuk kepada ubat selsema oseltamivir.

Thailand merekodkan 19 kes koronavirus. Lapan daripadanya telah sembuh dan pulang ke rumah manakala sebelas lagi masih dirawat di hospital.

Somsak berkata, kementerian kesihatan akan mengadakan mesyuarat pada Isnin untuk membincangkan kejayaan rawatan terhadap perempuan berusia 70 tahun itu, tetapi berkata masih terlalu awal untuk mengatakan pendekatan itu boleh digunakan dalam semua kes.

"Pada tahap awal kita hanya akan menggunakan pendekatan ini kepada kes-kes yang teruk," katanya.

-Reuters