Skip to main
Logo Malaysiakini

Adun DAP gesa SPRM segera bertindak kes rasuah MBPJ

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran hari ini tampil mennggesa SPRM supaya segera bertindak berhubung kes dakwaan penyelewengan dan salahguna kuasa dalam Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Menurut wakil rakyat DAP itu, tidak ada sebarang tindakan yang diambil suruhanjaya itu selepas enam bulan pihaknya melaporkan salah laku tersebut.

“Sebelum ini kami mendapat maklumat bahawa berlakunya salah guna kuasa dalam MBPJ dari seorang pemberi maklumat atau whistleblower di mana terdapat beberapa peruntukan bagi projek majlis bandaraya itu dan pembayaran telah dibuat. Namun pelaksaaannya tidak ada.

“Semua pegawai dah tahu berhubung kes ini dan SPRM pun dah masuk ke MBPJ dan buka kes siasatan tapi sehingga sekarang tak ada apa-apa tindakan dari SPRM,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Petaling Jaya, hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan sebarang butiran lanjut mengenai mereka yang didakwa mahupun projek yang dimaksudkannya itu.

Rajiv sekadar memberitahu pihaknya juga sudah dua kali menulis surat kepada SPRM bagi mendapatkan maklum balas mengenai dakwaan salah laku itu.

Sebaliknya, beliau berkata pihaknya hanya menerima surat pemakluman dari SPRM yang menyatakan kes tersebut masih disiasat.

Rajiv turut mendakwa bahawa beliau secara peribadi telah menghubungi Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung laporan yang dibuat pihaknya.

Bagaimanapun, katanya, Latheefa hanya mendiamkan diri.

“Dah lama kita bersabar, dah enam bulan kita terus menerus kemaskini kes ini.

“Tetapi selepas enam bulan ini pertama kali saya dedahkan perkara ini dan buat sidang media dan ini adalah adil untuk SPRM untuk menyiasat perkara ini.

"Tapi selepas enam bulan saya fikir saya perlu dedahkannya kepada umum kerana saya tak senang dengan kes-kes penyelewangan yang cuba di cover up,” katanya.

Malah, Rajiv berkata kecenderungan SPRM sejak akhir-akhir ini menyiasat kes yang dilakukan oleh bekas pemimpin kerajaan khususnya bekas perdana menteri Najib Razak dan timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi dibimbangi memberi mesej yang salah kepada rakyat.

“Saya tak nak hantar mesej yang salah bahawa kes ini boleh cover up. Macam ini isu yang kecil dan malas nak ambil tindakan. Cuma nak tangkap Najib Razak dan Zahid.

“Itu penting dan perkara ini juga sama penting. Jadi SPRM perlu mengambil serius perkara ini dan ambil tindakan,” kata Rajiv.