Skip to main
Logo Malaysiakini

NGO gesa AG kaji semula pemenjaraan lelaki OKU cuba bunuh diri

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

NGO Lawyers for Liberty (LFL) menggesa Pejabat Peguam Negara menimbang semula hukuman penjara terhadap seorang lelaki kurang upaya (OKU) atas kesalahan cuba membunuh diri.

Pengarah LFL Melissa Sasidaran berkata, pendakwaan terhadap lelaki itu bertentangan dengan hasrat kerajaan ke arah nyah jenayah terhadap percubaan bunuh diri.

"Demi kepentingan tertuduh dan awam, maka kami menggesa peguam negara untuk segera menimbang semula kes ini dan merujuknya ke Mahkamah Tinggi, agar sabitan dan hukuman dapat digugurkan.

"Budi bicara untuk mendakwa mesti dibuat secara wajar dan berdasarkan konteks (circumstance) kes.

"Kami bingung bagaimana kes ini didakwa dan dibicara apabila jelas ia tidak membawa kebaikan kepada kepentingan awam dengan mendakwa seorang individu yang jelas amat memerlukan bantuan, dan ia hanya memburukkan lagi keadaannya," katanya dalam kenyataan.

Semalam Mahkamah Majistret Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman penjara enam bulan Mohamad Sani Isa, 38, yang mengaku bersalah mengikut seksyen 309 Kanun Keseksaan, selepas didakwa cuba menggantung diri dengan tali nilon dari siling sebuah rumah pada 23 Disember lalu.

Menurut Astro Awani, dia melakukan perbuatan itu akibat tekanan hidup.

Sebelum ini, mahkamah memerintahkan supaya tertuduh menjalani rawatan psikiatri di Hospital Permai, Tampoi di Johor. Hukuman penjara terhadapnya berkuatkuasa bermula tarikh tangkapan pada 23 Disember lalu.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam) Lim Wei Jiet berkata Mohamad Sani tidak sepatutnya didakwa.

"Ada kekurangan belas kasihan dan kemanusiaan yang serius dalam sistem keadilan jenayah jika seorang yang kurang upaya yang berada dalam keadaan begitu terdesak dalam hidup, dikenakan hukuman penjara.

"Undang-undang tidak seharusnya menekankan hukuman tetapi diiringi dengan kebaikan dan belas kasihan.

"Hakam menggesa lelaki kurang upaya itu diberi bantuan psikiatri di institusi yang sesuai dan bukannya pemenjaraan, di mana keadaan mentalnya mungkin akan memburuk," katanya yang turut menggesa kerajaan memansuhkan Seksyen 309 Kanun Keseksaan, yang berkaitan percubaan bunuh diri.

Katanya, Malaysia antara sejumlah kecil negara yang masih mengekalkan undang-undang itu yang disifatkannya sebagai "lapuk".

'Kekal komited nyah jenayah bunuh diri'

Menteri Undang-undang Liew Vui Keong turut berkata keputusan mahkamah itu sebagai membimbangkan.

"Percubaan bunuh diri atau sebarang bentuk mudarat diri sendiri adalah isu kesihatan mental dan perlu ditangani secara perubatan. Mereka perlu diberi akses yang wajar terhadap penjagaan kesihatan mental dan dijaga sebagai pesakit, bukan banduan," katanya yang turut merujuk pengumuman kerajaan tahun lalu untuk tidak lagi menganggap bunuh diri sebagai jenayah.

"Kami kekal untuk meneruskannya. Pejabat Peguam Negara dengan giat menimbang bagaimana ia boleh dilaksanakan secara holistik oleh kerajaan.

"Pertamanya perlu ada mekanisme yang mapan untuk golongan ini mendapat akses penjagaan kesihatan mental sebelum undang-undang dapat dipinda bagi nyah jenayah bunuh diri," katanya lagi.

Berdesarkan perkembangan semasa dan tertakluk kepada kelulusan kabinet, Liew berharap pindaan undang-undang untuk perkara itu dapat dibentang pada pertengahan tahun ini.