Skip to main
Logo Malaysiakini

Kebimbangan virus saksikan RM1.7 trilion lesap

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

KORONAVIRUS l Lebih AS$420 bilion (RM1.7 trilion) daripada indeks saham utama China hari ini lesap susulan pelabur yang menjual yuan dan melupuskan saham kerana ketakutan terhadap koronavirus yang terus merebak dan impaknya ke atas ekonomi. Ini mendorong jualan besar-besaran pada hari pertama urusniaga di China sejak tahun baru Cina.

Pasaran terus menjunam di sebalik tindakan bank pusat menyuntik wang tunai ke dalam sistem kewangan - menunjukkan sokongan kepada ekonomi - dan di sebalik langkah kawalseliaan yang jelas bertujuan untuk mengekang penjualan.

Jumlah kematian di China akibat koronavirus meningkat kepada 361 orang semalam. Sebelum ini, angka itu cuma pada tahap 17 orang apabila pasaran China kali terakhir berurusan pada 23 Januari lalu.

Menjelang waktu makan tengah hari, indeks penanda aras Shanghai Composite jatuh lebih peratus dan adalah yang terburuk dalam tempoh lebih empat tahun.

Pasaran sepatutnya dibuka pada Jumaat lalu, tetapi pihak berkuasa melanjutkan cuti dalam usaha memerangi koronavirus.

Yuan susut sekitar 1.2 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Kontrak minyak, bijih besi, tembaga dan komoditi yang didagangkan oleh Shanghai menyaksikan kejatuhan mendadak, selaras dengan penurunan harga dunia.

Virus baru telah menimbulkan kebimbangan kerana ia merebak dengan cepat dan banyak tentangnya tidak diketahui. Pihak berkuasa menjangkakan ia berkemungkinan akan menyeret pertumbuhan ekonomi.

"Ini akan berterusan lama lagi," kata Iris Pang, pakar ekonomi Greater China di ING.

"Tidak pasti sama ada pekerja kilang atau berapa daripada mereka, akan kembali ke kilang semula," katanya.

 "Kami belum lagi melihat pendapatan korporat sejak (penyebaran) koronavirus. Restoran dan peruncit mungkin terjejas dengan jualan yang sangat kecil."

Lebih 2,600 saham mencatat penyusutan harian dengan had 10 peratus, sementara kontrak utama bijih besi jatuh pada paras maksimum lapan peratus.

Tembaga, minyak mentah dan kelapa sawit juga susut ke paras hadnya.