Skip to main
Logo Malaysiakini

Pesawat bawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan berlepas tadi

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Petang tadi, satu pesawat berlepas ke Wuhan, China, dalam misi membawa balik 141 rakyat Malaysia dan ahli keluarga mereka dari sana.

Pesawat yang berlepas bersama 12 kru penerbangan itu, akan membawa balik 141 orang, termasuk 117 warganegara Malaysia serta 24 ahli keluarga terdekat mereka yang bukan warganegara.

Penerbangan AirAsia AK8294 itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Tianhe di Wuhan, pada jam 4.30 petang tadi.

Selain kru penerbangan, lapan petugas turut menyertai misi itu dalam pesawat yang turut membawa bersama 500,000 sarung tangan getah sebagai sumbangan kepada kerajaan China bagi membantu mereka menangani wabak koronavirus (2019-nCoV).

Dalam satu kenyataan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menegaskan bahawa 141 orang itu akan menjalani saringan kesihatan bagi memastikan hanya yang sihat dibenarkan menaiki pesawat untuk pulang ke Kuala Lumpur.

Mereka yang memaparkan simptom pula akan terus tinggal di Wuhan untuk menerima rawatan.

“Buat masa sekarang kami tak dapat pastikan berapa lama proses saringan kesihatan, imigresen dan kebenaran itu akan berlangsung,” kata agensi itu.

Setibanya kembali mereka ke tanah air nanti, semua kru dan penumpang pesawat akan menjalani saringan kesihatan kedua di Unit Bencana Udara (Adu) di KLIA. Gambar yang dikongsi Nadma menunjukkan bahawa kemudahan saringan dan nyahpencemaran kini tersedia di ADU.

Mereka yang melalui penyaringan akan dibawa ke Pusat Pengawasan Dalam Negeri dan dikuarantin selama 14 hari untuk pemantauan lanjut.

Nadma berkata ia akan memaklumkan kepada anggota keluarga mereka yang dikuarantin tentang proses tersebut.

Sementara itu, mereka yang dikesan mengalami simptom 2019-nCoV akan dimasukkan ke hospital serta-merta.

Kakitangan kedutaan di Wuhan

Selain itu, Wisma Putra memaklumkan bahawa enam daripada kakitangannya di kedutaan Malaysia di Beijing, telah tiba di Wuhan bagi membantu misi tersebut.

“Pasukan enam individu itu terlebih dahulu ke Wuhan bagi menubuhkan sekretariat, menghubungi pihak berkuasa di sana bagi memastikan perjalanan lancar buat rakyat Malaysia, pelepasan kastam bagi bantuan kemanusiaaan, dan sebagainya.

“Perkara tersebut berjalan dengan lancar, dengan kerjasama yang baik dari pihak berkuasa China,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Satu video yang dimuat naik Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah menyaksikan enam kakitangan tersebut mengenakan topeng muka.

“Kami advanced team dari duta besar Malaysia sekarang berada di Wuhan, mohon doa daripada semua rakyat Malaysia bagi melancarkan kejayaan misi di Wuhan. Terima kasih,” kata salah seorang daripada mereka dalam video tersebut.

Setakat 3 Februari, bilangan kes 2019-nCoV yang disahkan di Malaysia masih sebanyak lapan orang, kesemuanya warganegara China.

Pada Ahad (2 Februari), South China Morning Post melaporkan bahawa angka kematian akibat virus itu ialah sebanyak 361 di China, meningkat sebanyak 57 kematian dari hari sebelumnya.

Kes baru pula meningkat sebanyak 2,289 kes, menjadi 17,297 kes.