Skip to main
Logo Malaysiakini

Lawatan PM Imran Khan tingkat hubungan M'sia-Pakistan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Lawatan kerja dua hari Perdana Menteri Pakistan Imran Khan ke Malaysia mulai hari ini dijangka meningkatkan dan memperkukuh lagi hubungan antara kedua-dua negara.

Ia merupakan lawatan kali kedua oleh Khan sejak menjadi Perdana Menteri pada Ogos 2018, beliau diiringi delegasi peringkat tinggi dari Islamabad termasuk Menteri Luar Negeri Makhdoom Shah Mahmood Qureshi dan Menteri untuk Pengeluaran Pertahanan Zubaida Jalal.

Dijadual tiba di ibu negara malam ini, bekas bintang kriket itu dijangka bertemu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya pada Selasa pagi.

Khan juga dijadual menyampaikan ceramah mengenai keselamatan dan keamanan serantau di Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS).

Kedua-dua pemimpin itu sememangnya akrab kerana mempunyai pandangan yang sama dalam banyak bidang, seperti memerangi rasuah dan isu berkaitan umat Islam termasuk Islamophobia, Palestin dan nasib Rohingya.

Pada pertemuan itu nanti kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan perkara yang mempunyai kepentingan bersama. 

Ia termasuk tindakan susulan daripada lawatan rasmi Dr Mahathir ke Islamabad pada 2019 yang menyaksikan kedua-dua pemimpin bersetuju meningkatkan hubungan Malaysia-Pakistan kepada Perkongsian Strategik, menandakan tahap kerjasama dua hala baru dalam perdagangan minyak sawit, produk pertanian, peruncitan, produk halal, komponen kereta, tenaga, sains dan teknologi serta pelaburan telekomunikasi.

Malaysia dan Pakistan juga menikmati kerjasama ekonomi yang dinamik sejak memeterai Perjanjian Perkongsian Ekonomi Rapat Malaysia-Pakistan (MPCEPA) pada November 2007. Ia merangkumi liberalisasi dalam perdagangan barangan dan perkhidmatan, pelaburan serta kerjasama teknikal dua hala dan pembinaan keupayaan.

Jumlah dagangan antara Malaysia dan Pakistan berjumlah RM5.91 bilion pada 2018, meningkat 2.5 peratus berbanding RM5.76 bilion pada 2017.

Sejak terjalin hubungan diplomatik pada 1957, kedua-dua negara berkongsi hubungan mesra dan bekerja rapat dalam banyak bidang, termasuk di forum antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Pertubuhan Kerjasama Islam dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali.

Dengan diaspora besar rakyat Pakistan di Malaysia, kedua-dua negara juga berkongsi hubungan yang baik antara rakyat dengan rakyat.

- Bernama