Skip to main
Logo Malaysiakini

K'jaan sekat 147 rakyat China masuk ke Malaysia

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Setakat semalam, seramai 147 rakyat China dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei tidak dibenarkan masuk ke Malaysia.

Kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin, bilangan itu merupakan jumlah direkodkan selepas larangan kemasukan dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia terhadap rakyat China dari dua kawasan itu pada 27 Januari, sehingga 3 Februari.

Berdasarkan laporan Notis Penolakan Masuk (NPM) bagi warganegara China dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei yang dikongsinya di media sosial, pintu masuk yang mencatatkan jumlah penolakan masuk paling tinggi adalah di Pelabuhan Klang di Selangor dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Johor.

Antaranya semalam, seramai 33 kemasukan ditolak Pelabuhan Klang, manakala 32 lagi ditolak pada 29 Januari. Di KSAB pula, sebanyak 30 kemasukan pernah ditolak pada 28 Januari lalu.

Pada 27 Januari, kerajaan Malaysia menggantung sementara semua kemudahan imigresen kepada rakyat dari dua kawasan itu, termasuklah kemudahan tanpa visa (eNTRY), visa semasa ketibaan e-visa dan visa manual.

Keputusan itu diambil setelah mengambil kira perkembangan terkini kes jangkitan koronavirus 2019 (2019-nCoV) di negara China, khususnya di Wilayah Hubei.

Larangan tersebut masih lagi berkuat kuasa sehingga ke hari ini.