Skip to main
Logo Malaysiakini

Hong Kong lapor kematian pertama koronavirus

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Hong Kong melaporkan kematian pertama akibat wabak koronavirus hari ini.

Menurut kakitangan hospital, mangsa yang merupakan lelaki 39 tahun itu sudah menderita penyakit sedia ada sebelum ini, dan pernah melawat Wuhan pada Januari.

Ini merupakan kes kematian kedua wabak itu yang berlaku luar daripada tanah besar China, selepas kematian pertama seumpamanya dilaporkan pada Ahad, apabila seorang lelaki warganegara China berusia 44 tahun dari Wuhan meninggal dunia ketika melancong di Filipina.

Berdasarkan laporan berita tempatan, kematian di China setakat hari ini meningkat kepada lebih 420 kes, manakala kes jangkitan pula meningkat sebanyak 3,235 kepada 20,438 kes.

Sekurang-kurangnya, 151 kes dilaporkan di 23 negara dan wilayah, termasuklah Amerika Syarikat, Jepun, Thailand, Hong Kong dan Britain.

Kematian itu terjadi ketika mogok oleh ratusan kakitangan kesihatan di Hong Kong masuk hari kedua hari ini, bagi menggesa kerajaan menutup sempadan bandar itu dengan tanah besar China.

Sehari sebelum itu, Carrie Lam membenarkan tiga pintu masuk terus dibuka.

Setakat ini, Hong Kong mempunyai 15 kes koronavirus yang disahkan, termasuk satu kes yang merupakan sebaran tempatan.

Sementara itu, pemogok yang mengenakan topeng muka, bergerak dari ibu pejabat pihak berkuasa hospital di Kowloon, ke jalan-jalan utama.

Mereka memegang plakad putih dan merah dengan tulisan “Selamatkan HK sekarang. Saya kakitangan pihak berkuasa hospital yang sedang mogok".

Pada Isnin, pihak-pihak berkuasa di Hong Kong mengumumkan penutupan empat lagi pintu sempadannya dengan tanah besar China, menjadikan sempadan yang masih terbuka hanyalah di jambatan yang menghubungkan bandar itu dengan Macau dan Zhuhai di China selatan, serta Shenzen Bay Port di kawasan utara.

Kira-kira 2,700 kakitangan daripada Persekutuan Kakitangan Pihak Berkuasa Hospital (HAEA) mogok pada Isnin lalu menggesa Hong Kong menutup semua pintu sempadannya, dan menggesa perlidungan lebih baik untuk kakitangan hospital.

Carrie Lam menolak permintaan tersebut dengan menyifatkannya sebagai langkah yang “tidak wajar dan tidak praktikal” serta “bersifat diskriminasi”.

AS, Australia, Singapura, New Zealand dan Vietnam antara negara yang menolak kemasukan warga asing yang pernah melawat China baru-baru ini.

Minggu lalu, kerajaan Hong Kong menggantung perjalanan rentas sempadan di enam kawasan (checkpoint) dan mengurangkan separuh jumlah penerbangan ke tanah besar.

Ketua eksekutif pihak berkuasa hospital di Hong Kong, Tony Ko, berkata dalam satu kenyataan, meskipun pihak berkuasa bersetuju bahawa aliran penumpang rentas sempadan perlu lagi dikurangkan bagi mengelakkan sebaran virus tersebut, mereka “tidak bersetuju keselamatan pesakit dibahayakan demi mahu menyuarakan pandangan".

Seorang jurucakap pihak berkuasa itu juga berkata bahawa memandangkan ramai kakitangan kesihatan tidak hadir bekerja di hospital awam hari ini, beberapa perkhidmatan kecemasan terjejas teruk.

- Reuters

[Baca berita asal]