Dua daripada 107 rakyat Malaysia dari Wuhan gagal saringan
KORONAVIRUS l Dua daripada 107 individu yang tiba di Malaysia melalui penerbangan khas dari Wuhan, China pagi ini gagal semasa menjalani saringan kesihatan dijalankan dan terus dihantar ke Hospital Kuala Lumpur.
Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata semua 107 rakyat Malaysia yang berada di Wuhan - pusat wabak koronavirus - telah melepasi pemeriksaan awal di China sebelum menaiki penerbangan AirAsia yang disewa khusus untuk membawa mereka pulang.
“Walaupun sebelum ini dimaklumkan jumlah yang berdaftar dengan kedutaan Malaysia di China untuk kembali ke Malaysia adalah 141, tetapi jumlah sebenar yang hadir untuk menaiki pesawat adalah 107,” kata Wan Azizah dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (Nadma).
“Menurut Wisma Putra, sebilangan rakyat Malaysia yang dijadualkan dalam penerbangan ini tidak dapat meninggalkan Wuhan atas masalah logistik.
“Sebab utama adalah mereka berada di luar bandar Wuhan dan kesukaran untuk mendapatkan kenderaan untuk menuju ke bandar Wuhan atau ke lapangan terbang,” katanya.
Bagi 105 rakyat Malaysia yang melepasi saringan kesihatan, Wan Azizah berkata mereka kemudiannya dibawa menaiki bas ke Pusat Pemantauan (Surveillance Center) di Akedemi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) yang terletak di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan.
Di sana, saringan kesihatan akan dibuat dua kali sehari bagi memastikan mereka ini benar-benar sihat dan boleh dibenarkan keluar setelah tamat proses pemantauan itu.
“Di sini perhubungan adalah terhad kepada petugas kesihatan sahaja. Selain petugas kesihatan tidak ada perhubungan dengan pihak luar yang dibenarkan termasuk ahli keluarga.
“Justeru, ahli keluarga atau sahabat handai diminta agar dapat memahami situasi ini dan hendaklah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pelaksanaan pemantauan ini,” katanya sambil menambah untuk tujuan keselamatan, lokasi itu dikawal oleh pihak polis.
Penerbangan hari ini turut membawa 12 kru, lapan petugas misi dan enam pegawai dari Kedutaan Malaysia dari Beijing, menjadikan 133 orang jumlah keseluruhan yang menaiki pesawat dari Wuhan itu.
Pesawat itu turut membawa 500,000 pasang sarung tangan getah sebagai sumbangan kepada kerajaan China untuk membantu menangani penularan koronavirus di negara itu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai