Skip to main
Logo Malaysiakini

K’jaan fokus negara baru susulan penurunan pelancong China

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan menstruktur semula kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020) dengan menyasarkan pasaran negara baharu susulan isu jangkitan novel koronavirus 2019.

Menterinya, Datuk Mohammadin Ketapi berkata pihaknya mendapati kesan krisis koronavirus di Wuhan, China menyebabkan jumlah pelancong dari negara itu turun dengan mendadak.

Tanpa menyebut jumlah penurunan pelancong dari China ketika ini, beliau berkata tahun lepas, pelancong dari negara itu menyumbang 11 peratus daripada jumlah kedatangan pelancong ke Malaysia.

"Turut menjadi kegusaran adalah reaksi dan kebimbangan rakyat Malaysia terutamanya mereka yang bekerja dalam industri pelancongan akan risiko jangkitan dan kesan negatif ketibaan pelancong ke Malaysia," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, Mohammadin mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pemulihan Pelancongan yang membincangkan rangka dan strategi pemulihan pelancongan negara akibat wabak koronavirus di China yang telah memberi kesan kepada industri pelancongan global.

Katanya, antara negara baharu yang akan diberi fokus untuk kempen VM2020 adalah Eropah, Australia, Timur Tengah, Asia Tengah, Rusia serta Asia Timur seperti Jepun dan Korea Selatan bagi menarik pelancong berkualiti dan berbelanja besar di Malaysia.

Beliau berkata MOTAC juga telah merangka strategi ‘Quick Win’ untuk pasaran jarak dekat negara- negara ASEAN sebagai kempen alternatif untuk pemulihan industri pelancongan negara.

Menteri itu berkata sesi ‘town hall’ juga akan diadakan bermula 10 Feb hingga bulan hadapan di beberapa negeri bersama dengan pemain industri bagi mendapatkan input daripada mereka untuk memulihkan sektor pelancongan negara.

"Selain itu, saya juga akan melakukan perbincangan dengan kerajaan negeri Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Sabah untuk mencari penyelesaian terbaik bagi pemulihan industri pelancongan di negeri masing-masing," katanya.

Pada masa yang sama katanya, Tourism Malaysia juga diarahkan untuk merancakkan lagi promosi kempen Cuti-Cuti Malaysia bersama pemain industri bagi mengukuhkan pelancongan domestik serta mengimbangi kemerosotan pelancong asing ke negara ini.

"MOTAC juga sedia mengadakan perbincangan intensif bersama dengan Malaysia Airlines, Malindo dan AirAsia untuk menerokai laluan penerbangan baharu terutamanya ke pasaran Eropah, Timur Tengah dan Asia Tengah memandangkan banyak penerbangan ke China telah dihentikan buat masa ini," katanya.

- Bernama