Skip to main
Logo Malaysiakini

Hari 1: Perbicaraan ditangguh, Rosmah enggan ulas masalah kesihatan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

LANGSUNG | Perbicaraan rasuah terhadap isteri bekas Perdana Menteri Najib Razak, Rosmah Mansor, berhubung dakwaan penyalahgunaan dana bagi pembekalan dan pemasangan tenaga solar melibatkan 369 sekolah luar bandar di Sarawak bermula hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Malaysiakini melaporkan perbicaraan ini secara langsung:


1.40 petang: Prosiding hari ini ditangguhkan selepas selesai pemeriksaan balas saksi ketiga, Azimah Aziz yang merupakan pegawai Maybank.

Rosmah Mansor kemudian meninggalkan mahkamah. Dia enggan mengulas berkenaan keadaan kesihatannya.

"Tanya doktor saya," katanya sebelum memasuki lif.

Perbicaraan akan bersambung pagi esok.


1.30 petang: Pegawai Maybank Azimah Aziz berkata dia tiada akses terhadap maklumat berkenaan tujuan pengeluaran berjumlah RM6.5 juta yang dibuat pengarah urusan Jepak Holdings ketika itu, Saidi Abang Samsudin.

Dia berkata demikian ketika pemeriksaan balas dengan peguam Azrul Zulkifli Storke.

Azrul kemudian bertanya bagaimana bank boleh membenarkan pengeluaran wang yang begitu banyak tanpa mengetahui tujuannya.

Azimah berkata dia ada bertanya dan Saidi berkata pengeluaran dibuat atas tujuan perniagaan.

Katanya lagi, dia melaporkan dua transaksi kepada orang atasannya.

"Jadi, ia (transaksi) tidak meragukan?" soal Azrul.

"Ia bukan tanpa sebarang keraguan," jawab Azimah.


1:00 tengah hari: Bekas perdana menteri Najib Razak dilihat memeluk isterinya sebelum meninggalkan mahkamah.


12:40 tengah hari: Perbicaraan diteruskan dengan saksi ketiga, iaitu seorang kakitangan Maybank, Azimah Aziz memberi keterangan di mahkamah.

Kakitangan bank berusia 38 tahun yang bekerja sebagai ketua juruwang di cawangan Medan Tuanku it, berkata bekas pengarah urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin mengeluarkan RM5 juta dan RM1.5 juta dalam bentuk tunai dari akaun banknya pada 20 Disember 2016 dan September 7 2017.

Menurut beliau bank itu menyediakan wang tunai dalam wang kertas RM100 seperti yang diminta oleh Saidi sendiri.

Dalam transaksi kedua, Azimah berkata beliau telah bertanya Saidi tujuan lelaki itu mengeluarkan wang.

"Dia kata, pengeluaran wang itu semata-mata untuk tujuan perniagaan. Oleh kerana dia tidak (berhasrat) bercakap tentang hal itu, maka saya tidak bertanya lanjut," kata Azimah.

Beliau berkata bank itu mempunyai amalan untuk bertanya tujuan pengeluaran bagi sejumlah wang yang besar untuk memastikan pelanggan tidak terlibat dalam penipuan.


12.20 tengah hari: Saksi kedua turun dari kandang saksi buat seketika. Najib dan Rosmah mengadakan perbicangan dengan peguam mereka.


12.15 tengah hari: Bekas perdana menteri, Najib Razak memasuki mahkamah dan Rosmah dilihat melemparkan senyuman.


11.30 pagi: Saksi kedua pendakwaan, iaitu pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Redzuan Othman 27, memberitahu mahkamah kira-kira 10 keping gambar diambil dari dalam rumah Rosmah pada 2 Nov 2018.

Ia termasuk lokasi di mana Rosmah didakwa menerima RM1.5 juta untuk projek menyediakan tenaga solar kepada sekolah- sekolah luar bandar di Sarawak.

Beliau mengenal pasti salah satu daripada gambar yang diambil di ruang tamu ketiga di kediaman Rosmah.

Selain itu, beliau berkata satu lagi gambar di sudut kanan ruang tamu ketiga, dengan satu sofa, di mana beg berisi RM1.5 juta dikatakan diletakkan di situ pada 7 September 2017.

Redzuan berkata, beliau menerima arahan daripada pegawai penyiasat kes untuk mengambil gambar, seperti yang dikenal pasti oleh saksi lain dalam kes itu.

Pada hari gambar-gambar itu diambil, Redzuan berkata, dia pergi ke rumah Rosmah bersama saksi yang dibawa dengan kenderaan SPRM dan diminta untuk mengenal pasti lokasi di dalam dan di luar rumah.


'Rosmah jadi wanita pertama kerana kerja-kerja kebajikan'

11.00 pagi: Saksi pertama pendakwa, Huzai Zainal Abidin, 42, memberitahu mahkamah bahawa Rosmah tidak mempunyai kedudukan rasmi dalam kerajaan tetapi dia memainkan peranan, khususnya dalam kerja-kerja kebajikan, selama sembilan tahun Najib menjadi perdana menteri.

Dengan itu, First Lady Of Malaysia (FLOM) ditubuhkan untuk tujuan berkenaan dan laman web tertentu diwujudkan.

Saksi itu berkata Rizal Mansor bertugas sebagai pegawai di bawah FLOM.

Bagaimanapun, Huzai berkata FLOM dinamakan semula dan laman web berkenan dipadamkan selepas timbul kontroversi bahawa Raja Permaisuri Agong sepatutnya digelar wanita pertama.


Peguam bantah pernyataan pembukaan pendakwa raya

10.15 pagi: Dalam pernyataan pembukaannya, pendakwa raya utama Gopal Sri Ram bercakap bagaimana Rosmah pada mulanya meminta 17 peratus daripada kos projek solar dan kemudian menerima suapan dengan kadar peratusan lebih rendah.

Beliau berkata permintaannya diuruskan dengan bantuan bekas pegawai khasnya, Rizal Mansor.

"Dia meletakkan dirinya dalam kedudukan boleh mempengaruhi keputusan dalam sektor awam. Pihak pendakwaan akan mengemukakan keterangan langsung dan mengikut keadaan untuk menunjukkan tertuduh meminta dan menerima suapan seperti didakwa dalam pertuduhan terhadapnya," kata Sri Ram (gambar).

Beliau mengatakan bahawa Rosmah memperoleh RM6.5 juta dengan perolehan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk Jepak Holdings Sdn Bhd.

Peguam Jagjit Singh segera membidas dan meminta mahkamah mengenepikan bahagian yang tidak relevan yang beliau rasakan sebagai pembunuhan karakter terhadap anak guamnya.

Sri Ram mempertahankan ucapan pembukaannya dan mengatakan bahawa beliau perlu menetapkan sifat kes tersebut.

Sekali lagi, hakim tidak melayani permintaan peguam bela.

Perbicaraan dimulakan dengan saksi pendakwaan pertama, Huzai Zainal Abidin iaitu bekas pegawai Jabatan Perdana Menteri memberikan keterangan.


Peguam dakwa doktor rawat Rosmah rasa terancam

10 pagi:  Perbicaraan terhadap Rosmah bermula dengan peguam bela, Jagjit Singh mengadu bahawa doktor yang merawat Rosmah ketika di hospital berasa terancam.

Beliau mengatakan tindakan tersebut sebagai intimidasi dan meminta hakim Mohamed Zainal Mazlan memastikan perkara ini tidak akan berlaku lagi.

Bagaimanapun, pendakwa utama, Gopal Sri Ram berkata doktor bebas membuat laporan polis jika dia berasa terancam.

Hakim mengatakan ia berada di luar bidang kuasa mahkamah untuk bertindak seperti yang diminta oleh peguam bela.


Rosmah hadir di mahkamah walaupun tidak sihat

9.50 pagi: Rosmah Mansor muncul di mahkamah untuk menghadiri perbicaraan pada hari pertama berhubung kes projek solar walaupun kesihatannya tidak mengizinkan.

Isteri kepada bekas perdana menteri Najib Razak itu sepatutnya menghadapi perbicaraan pada 3 Feb namun dimasukkan ke hospital kerana mengalami sakit belakang dan tengkuk.

Ketika dihampiri, Rosmah berkata beliau tidak mempunyai pilihan.

Ditanya oleh pihak media mengenai kesihatannya, Rosmah menjawab: "Adakah saya ada pilihan?"

Isteri bekas perdana menteri itu dilihat berjalan dengan perlahan dengan seorang pembantu memimpinnya.


Hari ini merupakan hari pertama perbicaraan kes rasuah Rosmah Mansor berhubung pembekalan dan pemasangan tenaga solar melibatkan 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Isteri bekas perdana menteri itu menghadapi tiga pertuduhan rasuah yang melibatkan beratus-ratus juta ringgit.

Tertuduh gagal hadir pada hari pertama perbicaraan semalam apabila peguam memaklumkan beliau dimasukkan ke hospital.