Skip to main
Logo Malaysiakini

Dua lagi rakyat Malaysia positif virus Wuhan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Dua lagi rakyat Malaysia disahkan positif novel coronavirus hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 12 orang dikesan dijangkiti penyakit itu di negara ini.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata dua individu terbabit adalah warganegara Malaysia yang dibawa pulang dari Wuhan, China, semalam.

Menurut beliau dua pesakit terbabit bukanlah individu yang gagal dalam ujian saringan semalam.

Kata Dzulkefly, keputusan ujian klinikal yang dijalankan ke atas dua rakyat Malaysia yang tiba di negara ini dari Wuhan semalam didapati negatif.

Sebaliknya, kata ahli parlimen Kuala Selangor itu, dua individu yang disahkan positif adalah antara rakyat Malaysia yang diletakkan di bawah pemantauan selepas menjalani saringan awal.

"Mereka ialah seorang lelaki berusia 45 tahun dan anaknya yang berusia sembilan tahun dan asimptomatik (tidak menunjukkan sebarang simptom)," katanya.

 Sebagai langkah pencegahan, menurut Dzulkefly, seramai 35 orang yang didapati berhubung dengan pesakit terbabit sudah dikesan dan sampel diambil daripada mereka untuk pemeriksaan.

Katanya mereka juga diletakkan bawah pemantauan dalam rumah oleh kakitangan Kementerian Kesihatan sehingga keputusan ujian klinikal diperoleh.

Sementara itu Dzulkefly mengesahkan seorang remaja Kanada dipindahkan oleh kakitangan kementerian dari Twin Towers Medical Centre di KLCC ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan.

Remaja terbabit - yang baru tiba dari Indonesia semalam - pengsan pada awal hari ini.

Malaysiakini difahamkan remaja itu tidak menunjukkan sebarang simptom tetapi Dzulkefly memberitahu pemeriksaan tersebut dibuat sebagai langkah berjaga-jaga.

[Baca berita penuh]