Pegawai bank: Pengarah Jepak Holdings keluar wang tunai RM6.5 juta
KES ROSMAH | Mahkamah diberitahu Saidi Abang Samsudin ketika menjadi pengarah urusan Jepak Holdings membuat pengeluaran wang sebanyak dua kali di banknya dengan jumlah RM6.5 juta.
Ia merupakan jumlah yang didakwa diterima Rosmah Mansor yang berdepan tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 di pedalaman Sarawak.
Perkara itu didedahkan oleh saksi pendakwaan ketiga, pegawai Maybank Azimah Aziz, dalam keterangannya di depan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan, hari ini.
Dia yang dahulu menjadi ketua juruwang di Maybank cawangan Medan Tuanku, berkata Saidi mengeluarkan wang tunai berjumlah RM5 juta dan RM1.5 juta dari bank akaunnya, pada 20 Disember 2016 dan 7 September 2017.
Dia berkata, sebanyak dua kali itu, Saidi meminta wang tersebut disediakan dalam nota RM100.
"Memandangkan wang tunai di cawangan Medan Tuanku tidak mencukupi, saya meminta RM1 juta daripada pejabat utama kami," katanya berhubung pengeluaran kedua berjumlah RM1.5 juta.
Berkenaan transaksi kedua itu, Azimah berkata dia bertanya Saidi berkenaan tujuan pengeluaran yang besar itu, kerana amalan standard bank untuk memastikan pelanggan tidak terlibat dalam 'scam'.
"Dia kata, pengeluaran wang itu semata-mata untuk tujuan perniagaan. Oleh kerana dia tidak (berhasrat) bercakap tentang hal itu, maka saya tidak bertanya lanjut," katanya.
Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Azrul Zulkifli Stork, Azimah berkata dia tiada maklumat berkenaan tujuan sebenar Saidi mengeluarkan wang berjumlah RM6.5 juta.
Katanya, dia hanya mengikut prosedur dengan bertanya soalan kepada Saidi dan menerima jawapan yang diberikan.
Katanya lagi, dia turut melaporkan dua transaksi itu kepada orang atasannya.
"Jadi, ia (transaksi) tidak meragukan?" soal Azrul.
"Ia bukan tanpa sebarang keraguan," jawab Azimah.
Terdahulu, saksi pendakwaan kedua, pegawai SPRM Mohd Redzuan Othman menjelaskan tentang sepuluh keping gambar diambil dari dalam rumah Rosmah pada 2 Nov 2018.
Salah satu gambar menunjukkan lokasi Rosmah didakwa menerima wang RM1.5 juta daripada Saidi.
Dia mengenal pasti salah satu daripada gambar yang diambil di ruang tamu ketiga di kediaman Rosmah.
Selain itu, dia berkata satu lagi gambar di sudut kanan ruang tamu ketiga, dengan satu sofa, di mana beg berisi RM1.5 juta dikatakan diletakkan pada 7 September 2017.
Pada hari gambar-gambar itu diambil, kata Redzuan, dia pergi ke rumah Rosmah bersama saksi yang dibawa dengan kenderaan SPRM dan diminta untuk mengenal pasti lokasi di dalam dan di luar rumah.
"Jika kami salah rumah, tentulah kami tak dibenarkan masuk," katanya apabila DPP Poh Yih Tinn bertanya sama ada dia pasti berada di lokasi sebenar, memandangkan pegawai penyiasat kes tersebut tiada ketika itu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai